Oleh ASLIZA MUSA
IPOH – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta menyiasat usaha penjualan ladang seluas 15,000 hektar milik anak syarikat Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP), Ladang Lekir Sdn. Bhd. (LLSB) di Palembang, Indonesia yang didakwa dijual dengan harga yang rendah.
Pengerusi Penyelaras Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Perak, Datuk Hamidah Osman berkata, 60 peratus saham Ladang PT Pinang Witmas Sejati (PWS) itu telah dibeli oleh Syarikat Taiko Plantation pada harga RM342 juta.
Katanya, jumlah tersebut jauh lebih rendah berbanding nilai keseluruhan ladang tersebut yang sebelum ini dianggarkan berjumlah RM1.03 bilion oleh bekas Pengerusi LLSB, Allahyarham Datuk Khusairi Abdul Talib.
“Saya mendapat maklumat dan dokumen yang dilaporkan oleh The Edge di mana jelas memperlihatkan penjualan ladang PWS kepada Syarikat Taiko Plantation.
“Malah, syarikat itu menerusi kenyataan di Bursa Saham Malaysia pada 20 April lalu mengesahkan bahawa KLK (Kuala Lumpur Kepong Berhad) telah membeli 60 peratus pemilikan saham ladang PWS dengan harga RM342 juta sedangkan nilai keseluruhan ladang itu adalah RM1.03 bilion mengikut apa yg dimaklumkan oleh pengerusi terdahulu.
“Ini bermakna dengan harga pembelian tersebut, LLSB hanya mempersetujui bayaran jualan sebanyak 35 peratus sahaja berbanding nilai sebenar,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di SPRM Perak di Meru di sini hari ini.
Menurut Hamidah, penjualan ladang itu juga dibantah rakan kongsi LLSB di Indonesia iaitu PT. Trimitra Sumberbuana apabila melihat penjualan tersebut tidak sesuai dalam keadaan ekonomi tidak menentu ekoran penularan Covid-19.
Katanya, penjualan ladang itu dilihat sebagai langkah terburu-buru sedangkan ladang tersebut mendatangkan pendapatan bersih antara RM20 ke RM30 juta sejak 10 tahun lalu sekali gus mampu menyelesaikan kos pengurusan PPPNP.
“Jika harganya mencecah hampir RM1 bilion, mengapa kerajaan negeri melalui PPPNP menjualnya dengan harga hanya satu per tiga daripada jumlah tersebut.
“Kenapa menjual dengan harga begitu rendah dan tergesa-gesa tambahan lagi ketika wabak Covid-19 melanda seluruh dunia. Sudah tentu harga yang ditawarkan tidak bagus,” katanya. – K! ONLINE