BHUBANESWAR – Malaysia menerima tamparan hebat apabila Muhammad Shahril Saabah mengalami kecederaan ketika menewaskan Chile 3-2 pada aksi kedua Kumpulan C Piala Dunia Hoki 2023 di Rourkela semalam.
Penyerang berusia 28 tahun itu disahkan mengalami hamstring sekali gus terlepas aksi terakhir Kumpulan C menentang New Zealand di Stadium Kalinga di sini pada Khamis ini.
Pengurus skuad hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi menjelaskan, ketua jurulatih, A. Arul Selvaraj masih memikirkan sama ada mahu menggantikan tempat Shahril dengan dua pemain simpanan yang dibawa untuk aksi berdepan New Zealand.
“Shahril mengalami hamstring kaki kiri ketika menentang Chile. Berkemungkinan besar dia akan digantikan oleh salah seorang pemain simpanan yang dibawa ke sini.
“Arul akan membuat pengumuman tidak lama lagi. Ia sama ada antara Tengku Nasrul Ikmal (Hakimie Tengku Abd. Rahim) atau Shahmie Irfan Suhaimi,” katanya. – KOSMO! ONLINE