PETALING JAYA – Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil secara seloroh di Facebooknya hari ini menyoal bila Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan bertemu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk berbincang mengenai dana kerajaan di zaman pemerintahannya.
Jelas Isham, selepas berminggu Ahli Parlimen Pagoh itu berada di London, rakyat sebenarnya ingin tahu berkenaan hal tersebut dengan lebih terperinci.
Katanya, sejak berminggu lepas netizen bertanya di mana Tan Sri Muhyiddin dan adakah beliau masih berada di London sejak akhir tahun lepas, tapi beliau tidak menjawab.
Semalam katanya, beliau turut bertanya di Facebook adakah Muhyiddin sudah pulang ke Malaysia, dan lewat malam semalam baru Pengerusi Perikatan Nasional (PN) jawab di Facebook bahawa sudah ada di Kuala Lumpur jumpa delegasi Singapura.
“Saya ingin tanya Tan Sri Muhyiddin, alang-alang sudah balik ke Malaysia setelah berminggu-minggu di London, bila mahu berjumpa SPRM pula?
“SPRM tentunya ingin berjumpa Tan Sri untuk ambil keterangan berkenaan kes RM92.5 bilion dana kerajaan semasa darurat, kes PN rasuah pengundi, kes projek rundingan terus RM1.16 bilion kepada syarikat menantu.
“Serta juga bantu jawab kes rundingan terus projek tebatan banjir RM15 bilion oleh kementerian air,” ujar Isham dihantaran Facebooknya hari ini.
Jelas Isham lagi, jika dahulu selepas PRU-14, Datuk Sri Najib Tun Razak tidak dibenar ke luar negeri, pasportnya dirampas, rumah digeledah dan rumah arwah bondanya dipecah oleh kerana kes RM2.6 bilion.
“Kali ini kes RM92.5 bilion berkaitan Tan Sri ini adalah berpuluh kali ganda lebih besar dari itu dan adalah skandal rasuah dan salah guna kuasa yang terbesar dalam sejarah Malaysia.
“Oleh itu takkan Tan Sri tidak mahu jawab hal ini dan bersenang lenang bercuti ke luar negeri dan berjumpa delegasi-delegasi asing sahaja?” soalnya lagi.
Katanya, telah banyak laporan polis dan SPRM dibuat. Pihak berkuasa sedang menyiasat dan percaya mereka sedang tunggu Tan Sri untuk beri keterangan.
“Rakyat pun sedang tunggu. Sila jawab hal ini kepada rakyat. Jangan lari ke luar negeri lagi. Sesiapa pun tidak boleh terlepas daripada pengadilan. Terima kasih,” katanya. – KOSMO! ONLINE