PUTRAJAYA – Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin mencadangkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) dimasukkan terus ke dalam akaun bank murid supaya lebih selamat dan menjimatkan masa.
Radzi dalam satu hantaran di Facebook berkata, perkara itu bagi mengelakkan kejadian samun berulang selain meningkatkan produktiviti.
“Ibu bapa juga tidak perlu datang beratur di sekolah dan guru pula tidak perlu menguruskan pemberian bantuan di sekolah.
“Selain itu, pembayaran ke akaun murid juga memastikan tatacara pengurusan kewangan yang teratur dan selamat,” katanya.
Ujar beliau, langkah itu sekali gus dapat mengelakkan kejadian kehilangan tunai seperti yang berlaku semalam berulang lagi.
Bagaimanapun, katanya, sekiranya pembayaran tunai perlu dibuat, prosedur operasi standard (SOP) yang ketat mestilah dipatuhi oleh Ketua Jabatan mengikut Arahan Perbendaharaan (AP) 137 – Tanggungjawab Bagi Wang Tunai Dalam Perjalanan.
Dalam kejadian semalam, wang tunai BAP berjumlah RM109,000 dikeluarkan seorang guru besar lesap selepas dilarikan penjenayah di Pekan Semenyih. – KOSMO! ONLINE