LONDON – Pengkritik bola sepak England, Gary Neville mendedahkan beliau percaya bahawa Arsenal tidak mampu untuk memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris musim ini biarpun memiliki kelebihan lapan mata di puncak liga.
Skuad kendalian Mikel Arteta itu terus mengukuhkan cengkaman selepas meraih kemenangan 2-0 ke atas Tottenham Hotspur pada aksi derbi utara London yang berlangsung kelmarin.
Keputusan itu menyaksikan Arsenal ketika ini sudah meraih kemenangan dalam 15 perlawanan daripada 18 aksi dan hanya tewas sekali ketika berdepan Manchester United.
“Mereka (Arsenal) tidak akan memenangi liga. Manchester City akan menjuarainya dan Manchester United di kedudukan kedua. Saya tahu ini tidak menggembirakan peminat Arsenal.
“Saya rela melihat Arsenal memenanginya berbanding City, ia pastinya sensasi. Saya suka United memenanginya, tetapi saya fikir itu tidak akan berlaku musim ini,” jelasnya.
Neville percaya bahawa City akan kembali menemui rentak dan prestasi terbaik untuk menguasai saingan yang masih berbaki banyak lagi perlawanan musim ini
Jelasnya, jumlah dan kualiti yang dimiliki oleh para pemain City akan membolehkan mereka kembali berada pada tahap terbaik untuk mengurangkan jurang mata berkenaan yang dianggap belum selamat untuk Arsenal.
“Jika mereka (Arsenal) seri dalam dua perlawanan dan tewas sekali pada tiga perlawanan, kelebihan itu akan hilang. Itu yang saya fikir akan berlaku,” ujarnya. – AGENSI