RIYADH – Bintang bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo tersenyum kerana dapat meluangkan masa berkualiti bersama teman wanitanya, Georgina Rodriguez dan empat anaknya semalam di sebuah taman tema di Riyadh, lapor portal berita Mail Online.
Ronaldo,37, menikmati hari yang menyeronokkan selepas berpindah ke kelab bola sepak Arab Saudi, Al Nassr awal bulan ini.
Bekas bintang Manchester United itu memakai baju hitam kasual dan seluar jean biru, manakala Rodriguez bergaya dengan baju putih segar dipadankan bersama jean kelabu serta kasut warna hitam di bawah paras lutut.
Keluarga Ronaldo itu bersiar-siar di taman tema Riyadh Season Winter Wonderland. Destinasi pelancongan seluas 37.63 hektar itu memulakan operasi pada 2019.
Bintang bola sepak Portugal itu yang tinggal sebumbung bersama Rodriguez sejak 2016, tersenyum ketika bergambar bersama anak-anaknya di hadapan satu pertunjukan air.
Bagaimanapun, seorang lagi anak perempuan Ronaldo iaitu Bella yang berusia sembilan bulan, tidak bersama mereka.
Ronaldo menyertai Al Nassr dengan kontrak dua setengah tahun yang dipercayai bernilai sekitar £175 juta (RM925.18 juta) setahun yang diumumkan secara rasmi kepada para penyokongnya dalam satu majlis awal bulan ini. – Agensi