fbpx

Piala Dunia Hoki: Kemenangan bela maruah Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SKUAD negara gagal memberikan aksi terbaik untuk 30 minit pertama sebelum mencipta kebangkitan dengan memenangi perlawanan menentang Chile.

ROURKELA – Segala tekanan dirasai para pemain Malaysia hilang sebaik sahaja hon dibunyikan mengesahkan kemenangan dramatik 3-2 ke atas Chile pada aksi Piala Dunia Hoki 2023 di Stadium Hoki Birsa Munda kelmarin.

Keputusan itu amat bermakna buat skuad hoki negara kerana ia adalah kemenangan pertama Malaysia di Piala Dunia selepas kali terakhir melakukannya sewaktu edisi 2002 di Kuala Lumpur.

Kapten Malaysia, Muhammad Marhan Mohd. Jalil mengakui kemenangan itu sangat istimewa kerana ia membuktikan keha­diran mereka ke bumi India sebagai pencabar bukannya melengkapkan penyertaan sahaja.

“Kemenangan ini sangat istimewa dari segi maruah kerana ranking kami lebih tinggi (daripada Chile) dan memang sepatutnya kami kena menang de­ngan mereka.

“Sekarang dah tercapai apa yang kita sasarkan iaitu kemenangan. Walaupun kami bermain bawah tahap sebenar pada 30 minit pertama, tetapi kami menang dan kutip tiga mata.

“Mungkin dah tak rasa tekanan yang tinggi kerana kemenangan ini memberikan suntikan semangat tambahan kepada semua pemain. Ia satu kepuasan apabila kami dapat capai sesuatu,” katanya.

Malaysia yang memiliki 13 pukulan sudut penalti dalam aksi itu, meraih tiga gol menerusi Muhammad Razie Abd. Rahim (m-26), Mohamad Ashran Hamsani (m-41) dan Norsyafiq Sumantri pada minit ke-42.

Chile dengan dua gol awal pada minit ke-20 dan 29 menerusi Juan Amoroso serta Martin Rodriguez, berputih mata untuk mengutip satu mata apabila ja­ringan ketiga mereka lewat permainan tidak disahkan pengadil.

Malaysia kini wajib menang ke atas New Zealand di Stadium Kalinga, Bhubaneswar esok untuk mara ke pusingan crossover selepas ini dengan status sebagai naib juara Kumpulan C.

Berdasarkan rekod, skuad negara pernah mencatat enam kemenangan dan enam seri, tetapi tewas 13 kali sepanjang 25 pertembungan dengan New Zealand sejak kali pertama bertemu pada Piala Dunia 1975.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI