DUNGUN – Rakan pelajar kolej swasta yang mati lemas selepas terjatuh Sungai Hulu Paka berhampiran Bandar Al Muktafi Billah Shah di sini kelmarin, trauma menyaksikan insiden itu yang berlaku di depan mata.
Zul Qarnain Zaim berkata, dia juga berasa terkilan kerana gagal menyelamatkan rakannya, Muhammad Zuhaily Roslan sewaktu kejadian pada pukul 2.30 petang tersebut.
Kedua-dua mereka berusia 21 tahun.
Cerita Zul Qarnain, ketika kejadian, mereka berdua sedang menyeberang sungai untuk menjala ikan sebelum terpijak pasir jerlus.
Zul Qarnain bernasib baik kerana dia sempat berenang menyelamatkan diri, manakala Muhammad Zuhaily pula menjerit meminta pertolongan sebelum dihanyutkan arus deras.
“Saya mahu ambil sebatang kayu untuk membantu supaya Zuhaily dapat berpaut, namun dia sudah dihanyutkan arus deras,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.
Zul Qarnain memberitahu, mereka yang tinggal di Paka di sini tiba di lokasi kejadian untuk menjala ikan kira-kira dua jam sebelum kejadian.
“Kami sempat menunaikan solat zuhur dan makan tengah hari sebelum turun menjala ikan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, lebih 50 anggota pelbagai agensi dan penduduk kampung terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa.
Operasi melibatkan penggunaan bot dan pencarian di dasar sungai dengan bantuan Unit Pasukan Penyelamat di Air Balai Bomba dan Penyelamat Chukai.
“Pasukan penyelamat berdepan kesukaran kerana arus kuat selain longgokan kayu di dasar sungai,” katanya.
Mayat Zuhaily ditemui pukul 2.15 petang semalam.