BATU PAHAT – Seorang bekas mekanik sanggup berhenti kerja untuk menjaga bapa mentuanya di Kampung Semerah Darat, Parit Sulong, di sini, yang terlantar sakit akibat diserang angin ahmar sejak Oktober lalu.
Mohamad Shah Basir, 43, berkata, bapa mentuanya, Januri Sidek, 72, terkena strok selepas selesai menguruskan pengebumian isteri tercinta, Suzailah Januri yang meninggal dunia akibat penyakit kanser ovari.
“Sebaik hospital mengesahkan ibu sudah meninggal dunia, kami nampak ayah begitu sedih hinggakan semangatnya seperti hilang.
“Dalam keadaan sugul, ayah cuba memberikan bakti terakhir kepada ibu untuk sama-sama membantu mengebumikan jenazah sebelum dia diserang angin ahmar secara tiba-tiba,” katanya kepada Kosmo! di rumahnya di Parit Sulong di sini baru-baru ini.
Mohamad Shah berkata, kesihatan mentuanya itu semakin merosot selain hilang selera makan dan kurang berkomunikasi dengan ahli keluarga.
Menceritakan kembali kejadian menimpa warga emas itu, Shah berkata, sebaik jenazah arwah ibu mentuanya selesai dikebumikan, mereka kemudian pulang ke rumah dengan bapa mentuanya menaiki kereta seorang anak buahnya.
“Lebih kurang 10 minit selepas itu, ayah terdiam dan dilihat kaku di tempat duduk belakang.
“Kami kemudian bergegas ke hospital dan doktor memaklumkan bapa diserang angin ahmar pada sebelah badan,” katanya.
Menurut Shah, dia yang sebelum ini bekerja sebagai mekanik di sebuah kedai tayar terpaksa berhenti kerja bagi membantu isterinya menjaga bapa mentua yang memerlukan penjagaan rapi termasuk perlu mendukungnya ke bilik air.
“Kami cuma harapkan ihsan adik-beradik lain yang tinggal di sekitar sini untuk menghulurkan makanan atau wang ringgit demi membayar bil elektrik selain membeli keperluan lampin pakai buang ayah,” katanya.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian menerusi akaun bank Maybank 1513-600-23741 milik Mohamad Shah atau menghubunginya di talian 017-202 5030.