IPOH – Syarikat pengeluar telur ayam menjangkakan bekalan hasil ternakan itu tidak dapat ditingkatkan sekurang-kurangnya bagi tempoh setengah tahun lagi.
Jurucakap sebuah syarikat pengeluar telur ayam dikenali sebagai Goh berkata, ini kerana, pihaknya masih mengalami masalah bekalan ayam dari pihak industri yang turut sama berdepan isu pengeluaran.
“Kami memerlukan kira-kira lima bulan untuk meningkatkan hasil pengeluaran telur, namun ia bergantung kepada bekalan ayam yang syarikat bekalkan.
“Pembekal ayam sendiri masih berdepan masalah untuk menambah jumlah haiwan ternakan tersebut di ladang masing-masing, dengan tempoh enam bulan diperlukan untuk tujuan berkenaan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Pada masa sama, Goh berkata, masalah kekurangan bekalan telur ayam dan haiwan ternakan itu sendiri merupakan masalah global dengan beberapa faktor berkait dengannya.
Sebagai contoh, ujarnya, ia bergantung kepada keupayaan pembekal untuk membeli bahan-bahan mentah bagi memberi makanan ternakan, memandangkan harganya meningkat ketika ini.
“Apa yang pasti pada ketika ini, rata-rata syarikat pengeluar telur ayam sendiri tidak pasti bilakah waktunya pembekal mampu memenuhi permintaan kami,” ujarnya.