fbpx

Penduduk risau, cerun bukit tunggu masa untuk runtuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengguna jalan raya di laluan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Kem Semur di sini, resah setiap kali melalui kawasan cerun bukit terdedah yang dikhuatiri akan runtuh dan mengancam keselamatan mereka

GUA MUSANG – Pengguna jalan raya di laluan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Kem Semur di sini, resah setiap kali melalui kawasan cerun bukit terdedah yang dikhuatiri akan runtuh dan mengancam keselamatan mereka.

Tinjauan Kosmo! mendapati, separuh kawasan cerun selenggaraan syarikat kontraktor projek pembinaan Lebuh Raya Central Spine Road (CSR) ketika ini ­hanya ditutup dengan kanvas yang sudah reput.

Seorang pengguna jalan raya, Mohd. Rustam Mohamed, 39, berkata, jalan tersebut merupakan laluan utama yang harus dipantau dan diselenggara secara berkala oleh pihak berwajib agar tidak mengancam keselamatan pengguna.

Katanya, jalan itu menjadi laluan kenderaan berat seperti lori, bas persiaran dan bas ekspres yang berulang-alik dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur.

“Kami bimbang apabila kawasan itu terdedah sekali gus berisiko berlakunya cerun runtuh yang boleh menyebabkan kemalangan terutamanya pada waktu malam.

“Kami berharap pihak berwajib dapat terus mengambil langkah keselamatan di kawasan itu agar tidak berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.

Seorang penduduk tempatan, Jamil Ali, 40, berkata, mereka juga bimbang melihat cerun bukit itu terutamanya semasa hujan.

Katanya, dia berharap tindakan segera boleh diambil pihak berwajib dalam memastikan keselamatan pengguna laluan itu.

“Aspek keselamatan dan pe­ngurusan cerun yang betul perlu dititikberatkan dalam semua projek pembinaan yang melibatkan laluan orang awam.

“Jangan hanya memikirkan keuntungan semata-mata sehingga mengabaikan aspek ke­selamatan terutama yang membabitkan nyawa orang ramai,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Kawalan Alam Sekitar Kanan Daerah Gua Musang, Zaharizam Johny berkata, projek berkenaan kini dalam pemantauan dan pihak­nya sudah mengeluarkan notis bagi arahan menutup tanah yang terdedah.

Katanya, pemantauan akan terus dilakukan oleh Jabatan Alam Sekitar agar aspek keselamatan sentiasa diutamakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI