KUALA PILAH – Seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Pilah, hari ini, atas kesalahan membunuh sepupunya sendiri di daerah ini, 7 Januari lalu.
Peng Za Uk, 21, warganegara Myanmar mengangguk sejurus pertuduhan pertama dibacakan di hadapan Majistret, Saiful Sayoti.
Berdasarkan pertuduhan pertama, pada 7 Januari pukul 9.30 malam hingga 8 Januari pukul 1.30 pagi di hadapan rumah di Selaru telah membunuh seorang lelaki warganegara Myanmar.
Tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum mati.
Bagi pertuduhan kedua, pada 8 Januari pukul 3 pagi, di tepi jalan besar Selaru, Dangi, tertuduh telah didapati masuk dan tinggal di Malaysia tanpa mempunyai dokumen secara sah yang menyalahi undang-undang.
Bagi pertuduhan tersebut, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1) (c), Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) (Pindaan 2002) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6 (3), akta yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Bagaimanapun bagi pertuduhan kedua membabitkan kesalahan masuk ke negara ini tanpa dokumen yang sah, tertuduh menyatakan tidak faham.
Majistret kemudiannya mengulangi soalan, sama ada tertuduh faham atau sebaliknya bagi pertuduhan pertama dan tertuduh menyatakan tidak memahami sepenuhnya pertuduhan yang dibacakan.
Majistret menetapkan 17 Februari bagi sebutan semula kes di Mahkamah Majistret yang sama bagi jurubahasa Myanmar memandangkan tertuduh hanya memahami Bahasa Myanmar.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Peh Fong Xi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – KOSMO! ONLINE