fbpx

Pesakit mati otak derma mata, beri sinar kepada dua pesakit lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
(Kiri) Petugas kesihatan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu melakukan 'tribute' kepada Cospermas Gugkang.

PETALING JAYA – Tindakan keluarga mendiang Cospermas Gugkang, 38, yang bermurah hati mendermakan sepasang kornea (mata) kepada insan yang memerlukan, mengundang sebak dalam kalangan warganet.

Ini kerana walaupun masih dalam kesedihan di atas kehilangan ahli keluarga tersayang, pihak keluarga mendiang telah bersetuju untuk melakukan pemindahan terbabit.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, mendiang meninggal dunia pada usia 38 tahun melalui pengesahan ujian mati otak di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah.

“Selepas diberikan penjelasan mengenai keadaan mendiang dan pilihan tentang pendermaan organ, waris bersetuju untuk mendermakan sepasang kornea (mata) bagi tujuan transplan kepada pesakit yang memerlukan.

“Kes pendermaan organ telah disempurnakan pada 8 Januari 2023, dan pembedahan transplan kornea yang disumbangkan ini juga telah berjaya dijalankan ke atas dua orang penerima transplan masing-masing pada 10 dan 11 Januari 2023 di hospital tersebut.

“Kedua-dua orang penerima tersebut kini stabil dan dalam proses pemulihan,” katanya dalam satu kenyataan Ahad lepas.

Dalam pada itu, Rose Nani juga mengucapkan takziah dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta terima kasih kepada keluarga penderma.

Katanya, sebuah sinar harapan baru telah diberikan kepada pesakit yang memerlukan disamping berharap tindakan mulia ini dicontohi oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Semoga roh mendiang diberkati dan pihak keluarga diberi kekuatan menghadapi kehilangan ini.

“Kita juga mengharapkan agar lebih ramai masyarakat tampil mendaftarkan diri sebagai pengikrar penderma organ melalui aplikasi MySejahtera untuk membantu pesakit-pesakit yang memerlukannya,” ujarnya.

Di ruangan komen, rata-rata memuji tindakan keluarga tersebut kerana telah memberikan anugerah baharu buat dua orang penerima organ tersebut.

“Kematian yang menghidupkan. Tahniah kepada ahli keluarga yang rela berkorban demi untuk kehidupan orang lain. Saya pun dah berikrar untuk derma organ,” komen Mior Muhammad Hafiz.

“Salam takziah, teringat waktu mendiang masih hidup dia pernah cakap kalau meninggal lagi baik derma organ pada yang memerlukan, rupanya niat mendiang telah pun terlaksana. Damailah engkau disana wahai sahabat,” komen seorang pengguna lain pula. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI