PETALING JAYA – Projek-projek baharu di beberapa negeri akan dikaji dan diteliti semula dengan lebih mendalam lagi sebelum diumumkan kepada rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan perkara itu dalam ucapan ketika majlis bersama dengan Penjawat Awam Negeri Perlis petang tadi di Dewan 2020, Kangar.
“Dalam majlis tersebut, saya mengambil kesempatan untuk menjelaskan bahawa projek-projek baharu di negeri-negeri yang saya lawati termasuk Perlis tidak akan diumumkan tanpa penelitian proses yang sangat ketat dan rapi dijalankan.
“Sebaliknya, ia mesti dikaji dengan mendalam dan mesti mendapat persetujuan semua pihak termasuk di peringkat agensi yang berkaitan.
“Ini supaya projek-projek baharu yang bakal diumumkan dapat dilaksanakan dengan mengangkat prinsip ketelusan dan keberkesanan,” katanya dalam satu hantaran di Twitter.
Tambah Anwar, beliau turut memberikan jaminan bahawa negeri Perlis, seperti negeri-negeri yang lain, tidak akan disisihkan dari perhatian dan dukungan Kerajaan Persekutuan.
Jelasnya lagi, beliau mahu semua negeri membangun serta meningkat tahap ekonominya dan semestinya memberi manfaat kepada seluruh rakyat.
Turut dihadiri dalam majlis tersebut ialah Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad serta barisan Exco Kerajaan Negeri.
Sementara itu, Anwar turut menyatakan pendirian tetapnya terhadap perkara tersebut agar dapat melakukan yang terbaik buat negara dan rakyat.
“Saya amat konsisten dalam perkara ini dan Kerajaan tidak akan berganjak dari pendirian tersebut.
“Kita mesti bersama lakukan yang terbaik agar negara ini kembali bangkit dan makmur demi kesejahteraan negara dan rakyat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE