PETALING JAYA – Dokumen tidak lengkap dan berlaku penipuan maklumat adalah antara punca timbulnya isu kelewatan Bantuan Bencana Banjir Monsun Timur Laut (MTL) dan Bantuan Khas Covid-19 sebelum ini.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, Nadma telah pun menyalurkan peruntukan bagi Bantuan Bencana Banjir MTL ke semua pejabat setiausaha kerajaan negeri selaku pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) bagi tujuan tersebut.
Jelasnya, pihak berkaitan sentiasa cuba mempercepatkan proses pemberian bantuan, namun faktor berkenaan ada kala menyebabkan usaha tersebut sedikit terbantut.
“Proses agihan bantuan pula dilaksanakan oleh JPBN melalui pejabat daerah atau pihak berkuasa tempatan (PBT) selaku pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD).
“Seboleh-bolehnya bantuan kepada mangsa-mangsa bencana mahu diberikan secepat mungkin, namun keperluan untuk memastikan bahawa mereka yang layak sahaja menerima bantuan menyebabkan ada kala usaha berkenaan mengambil sedikit masa.
“Kami juga tidak mahu pemohon yang sepatutnya dapat bantuan tetapi dinafikan hak disebabkan mereka yang tidak jujur memberi maklumat diri. Jadi proses pemutihan perlu dilakukan dengan teliti,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Katanya lagi, bagi permohonan Bantuan Bencana Banjir MTL contohnya, selain ada yang tidak layak turut memohon, ada juga permohonan bertindih daripada Ketua Isi Rumah (KIR) sama.
“Ada juga yang tidak lengkap atau tepat selain ia tidak dikemukakan melalui pejabat daerah atau pihak berkuasa tempatan (PBT) berikutan proses verifikasi kadar kerosakan perlu dilaksanakan terlebih dahulu.
“Berkenaan Bantuan Khas Covid-19 pula, ada pemohon yang tidak memenuhi kriteria kerana tidak bekerja, bukan warganegara atau masih menerima gaji semasa dikuarantin.
“Sebahagian permohonan ditolak kerana melibatkan kematian bukan warganegara dan kematian bukan kerana Covid-19 selain dokumen diberi tidak jelas atau lengkap,” katanya.