YAN – Pejabat Agama Daerah Kota Setar menerima sebanyak 10 hingga 15 pendaftaran secara purata setiap bulan melibatkan pernikahan di negara jiran, Thailand.
Pegawai Agama Daerah Kota Setar, Datuk Syeikh Ahmad Faisol Omar berkata, pemeriksaan mendapati enam peratus daripada kes-kes yang dirujuk itu didapati tidak sah kerana menggunakan wali hakim tidak bertauliah selain mengahwini isteri orang.
Menurut beliau, pengesahan perkahwinan di negara jiran itu akan dibuat selepas siasatan dijalankan Pendaftar Nikah pejabat agama berkenaan.
“Sah atau tidak (perkahwinan di Thailand) bergantung kepada siasatan oleh Pendaftar Nikah. Ada beberapa perkara yang kita lihat seperti wali dan jurunikah.
“Adakah mereka (wali dan jurunikah) memiliki tauliah. Pengesahan perkahwinan kemudian akan diputuskan oleh pendaftar nikah.
“Kebanyakan kes yang dirujuk adalah sah, namun ada yang tidak sah antaranya menggunakan wali hakim yang tidak bertauliah, ada juga yang berkahwin dengan isteri orang yang mana idah belum tamat, tetapi sudah menikah lain,” katanya di sini semalam.
Beliau berkata demikian selepas hadir pada Majlis Pelancaran Menuai Padi Musim 1/2023 Smart Sawah Berskala Besar Asnaf (Smart SBBA) Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di Kampung Padang Lumat di sini semalam.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pasangan yang bernikah di luar negara supaya mendaftar perkahwinan di pejabat agama dengan segera bagi mengelak sebarang kesulitan pada masa hadapan.
“Denda sebanyak RM1,000 dikenakan bagi setiap kesalahan. Orang yang bernikah di Siam (Thailand) ini tidak malu sebab membelakangkan ibu bapa dan isteri pertama,” katanya.
Jelas beliau, kebanyakan pasangan yang bernikah di Thailand tanpa kebenaran melibatkan orang biasa selain orang kenamaan (VIP), namun bilangannya tidak ramai.
“Pasangan yang nikah tanpa kebenaran ini, mereka melakukan tiga kesalahan iaitu berkahwin tanpa kebenaran bagi belum pernah berkahwin dan berpoligami tanpa kebenaran.
“Jika mereka lambat mendaftarkan perkahwinan, maka mereka melakukan satu lagi kesalahan iaitu lewat mendaftarkan perkahwinan,” katanya.
Beliau juga tidak menafikan bahawa pernikahan di Thailand semakin rancak selepas sempadan kedua-dua negara dibuka semula setelah penularan Covid-19 reda.
Kosmo! baru-baru ini melaporkan kontroversi pernikahan membabitkan pengarah terkenal, Syamsul Yusof dengan Ira Kazar di Thailand baru-baru ini sedikitpun tidak menjejaskan aktiviti ‘nikah Siam’ dalam kalangan pasangan dari negara ini.
Malah, tempahan bernikah di negara jiran itu tetap rancak dengan setiap ejen tidak menang tangan untuk melayan permintaan daripada pasangan terutama mereka yang ingin berpoligami.
Perkara itu didedahkan seorang ejen nikah sendiri yang memberitahu terdapat lebih 20 pasangan merentasi sempadan melalui Perak setiap minggu untuk bernikah di Songkhla.