fbpx

Ke koridor pun tak boleh – Bront Palarae

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BRONT PALARAE

BOHONGlah kuarantin selama 14 hari, tidak boleh ke mana-mana bahkan hanya terperuk di dalam bilik tidak membiakkan rasa bosan kepada mana-mana individu. Perasaan yang sama turut diakui aktor popular Bront Palarae yang terpaksa berkurung di dalam bilik hotel selepas pulang menjalani penggambaran di luar negara baru-baru ini.

Berita berkenaan dikongsinya menerusi Facebook dengan memuat naik sekeping gambar memakai gelang berwarna putih bersama kapsyen: “Sudah ku mengerti akan perasaan Rapunzel.”
Bront, 42, yang ditempatkan di sebuah hotel berhampiran Lapangan Terbang Kuala Lumpur ( KLIA) sejak 10 Oktober lalu, bagaimanapun tidak menjelaskan lokasi penggambaran tersebut dilakukan kerana perlu dirahsiakan ekoran terikat dengan kontrak.

Berkongsi pengalaman menjalani kuarantin, aktor Pengabdi Setan juga tidak melihat perkara tersebut sebagai satu kekangan apatah lagi menyekat aktiviti seninya.

KOSMO!: Apa khabar Bront, bagaimana keadaan anda?
BRONT: Alhamdulillah saya berada dalam keadaan baik selepas pulang dari luar negara dan kini menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari selain mengikut proses yang ditetapkan oleh kerajaan kerana umum tahu kita kini sedang berdepan dengan pandemik Covid-19.
Bagaimanapun, saya berkongsi gambar dalam Facebook bukan bertujuan untuk memperbesarkan perkara tersebut tetapi sekadar ingin memberitahu kepada kenalan terdekat. Saya bukan ingin publisiti.

Boleh kongsikan pengalaman menjalani kuarantin?
Saya akui agak membosankan kerana perlu berada di dalam bilik sehinggakan keluar ke koridor pun tidak dibenarkan. Tetapi saya bersyukur kerana mempunyai internet selain lebih banyak menonton televisyen sahaja. Sepanjang tempoh ini juga saya mengambil peluang untuk berehat dan menyelesaikan tugasan yang tertangguh.
Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kakitangan hotel dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada kami. Sejujurnya saya tidak mempunyai sebarang masalah atau aduan ingin dibuat.

Di hotel, saya diberi makan selama tiga kali sehari, sarapan, makan tengah hari dan malam. Makanan akan dihantar oleh kakitangan hotel yang memakai pakaian pelindung diri (PPE) meletakkan hidangan di atas sebuah kerusi di luar bilik.
Kami turut disediakan plastik sampah khas untuk membuang sisa makanan dan buangan.

PANDEMIK Covid-19 tidak terlalu kuat memberikan impak buat hidup Bront kerana aktor itu mengakui, selama ini pun dia hidup secara sederhana.

Bagaimanakah penerimaan keluarga apabila mengetahui anda menjalani kuarantin di hotel?
Semuanya berada dalam keadaan baik dan kami tetap berhubung antara satu sama lain untuk mengetahui keadaan semasa. Isteri (Rozi Izma) juga meminta agar saya menjalani tempoh kuarantin lebih lama sehingga benar-benar yakin selamat kerana bimbang akan menjangkiti ahli keluarga lain terutama anak kecil kami, Adeena Imani, 4.

Negara manakah yang anda lawati sebelum pulang ke Malaysia?
Saya mohon maaf kerana tidak dapat menjelaskan lokasi tersebut kerana terikat dengan perjanjian kontrak penggambaran sebuah filem. Buat masa sekarang saya tidak boleh menjelaskan secara terperinci mengenai perkara itu.

Bolehkah anda kongsikan pengalaman menjalani penggambaran di luar negara?
Penggambaran dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan. Sedikit berbeza sebelum ini tetapi apa yang saya lihat, penerbit terpaksa menanggung kos tambahan yang lebih tinggi, selain proses penggambaran menjadi sedikit lambat.
Hal ini kerana setiap pelakon dan kru perlu menjalani ujian kesihatan sebelum dibenarkan berada di lokasi penggambaran. Boleh dikatakan situasi itu berlaku setiap hari kerana kita tidak tahu sejarah perjalanan pelakon dan kru terbabit. Tetapi saya melihat segalanya berjalan lancar dan tidak mempunyai masalah.

Adakah pandemik Covid-19 memberi impak terhadap kehidupan anda?
Saya menjalani kehidupan yang sederhana jadi tidak mempunyai masalah yang ketara. Bagaimanapun, saya akui sedikit sebanyak situasi ini memberi kebimbangan kerana aktiviti penggambaran tidak dapat dilakukan, sama ada dihentikan atau ditunda.

Bagaimana pula dengan perkembangan aktiviti seni terbaharu?
Disebabkan penggambaran filem ini telah ditunda buat sementara waktu, saya menunggu tarikh lain untuk meneruskan penggambaran ke tarikh akan datang. Saya juga akan memasuki set penggambaran sebuah filem tempatan dalam masa terdekat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI