ROMPIN – Tindakan drastik Majlis Daerah Rompin (MDR) mengenakan caj tempat letak kereta mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk pemimpin setempat dan penduduk kampung di daerah ini.
Rata-rata menyatakan adalah tidak wajar MDR mengenakan caj itu di kawasan yang masih dikategorikan luar bandar apatah lagi ketika penduduk sedang terbeban dengan kos sara hidup.
Malah, caj tempat letak kereta itu juga dilihat menjadi polemik politik di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman yang dimenangi Barisan Nasional selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, Datuk Seri Johari Hussain berkata, beliau membantah pelaksanaan caj tempat letak kereta berkenaan pada masa ini kerana ia membebankan rakyat.
“Saya terkejut dengan pelaksanaan caj ini dan saya juga tidak dimaklumkan secara terperinci mengenai perkara ini, jadi saya memohon agar MDR dapat mempertimbang menangguhkan dahulu cadangan pelaksanaan caj tempat letak kereta ini.
“Ia harus mengambil pandangan masyarakat yang masih dalam pasca Covid-19 dan keadaan ekonomi yang tidak stabil dengan kos sara hidup yang meningkat,” kataya di sini semalam.
Berdasarkan notis pemakluman oleh MDR menyatakan pihaknya akan melakasanakan sistem digital tempat letak kenderaan berbayar menggunakan aplikasi PahangGO berkuat kuasa 1 Februari depan.
Ujar Johari, sepatutnya MDR mengadakan ‘engagement’ terlebih dahulu bersama masyarakat setempat khususnya pengguna.
Pengerusi Pakatan Harapan Rompin, Mohd. Fadzi Mohd. Ramli berkata, beliau telah melancarkan petisyen bagi membantah pelaksanaan caj tempat letak kereta berkenaan.
Kata Mohd. Fadzi, sepatutnya MDR perlu menyelesaikan dahulu isu infrastruktur di kawasan bandar berkenaan termasuklah jalan yang masih berlubang.
Malah, katanya, penggunaan aplikasi digital juga tidak wajar di kawasan Rompin kerana menyusahkan penduduk yang rata-ratanya adalah masyarakat kampung termasuk Orang Asli.
“Kita mohon tangguh dulu dan selesaikan dulu isu kemudahan dan infrastruktur, di Rompin ini bukannya bandar besar, hanya ada satu Pasar Raya Tunas Manja, jadi petisyen itu akan dihantar kepada Menteri Besar,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Rompin, Datuk Abdul Khalib Abdullah berkata, beliau membantah pelaksanaan caj berkenaan yang akan membebankan rakyat apatah lagi Rompin masih bertaraf Majlis Daerah.
Sementara itu, Pegawai Daerah Rompin yang juga Yang Dipertua Majlis Perbandaran Rompin gagal dihubungi bagi mengulas mengenai isu ini.
Rompin yang berkeluasan lebih 524,688 hektar memiliki jumlah penduduk lebih 135,000 orang menerusi bancian MyCensus pada 2020.