fbpx

Imaginur, hipnosis bertemu realiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AKAN menemui penonton di pawagam pada 23 Februari depan, Imaginur mengangkat kisah percintaan bersulam elemen hipnosis.

MENGANGKAT kisah percintaan yang mengetengahkan elemen romantik sains fiksyen merupakan naratif unik dalam naskhah arahan pengarah terkenal Nik Amir Mustapha berjudul Imaginur.

Bertemakan cinta, namun Imaginur disulami elemen hipnosis untuk menjadikan jalan ceritanya lebih menarik.

“Imaginur sebuah kisah cinta, mengisahkan seorang lelaki yang mimpikan seorang wanita.

“Dia kemudian melalui proses hipnosis dan mereka tiba-tiba dapat berjumpa dalam alam realiti,” kata Nik Amir.

Tambahnya, dia terinspirasi dengan satu soalan, bolehkah manusia dipukau untuk bercinta?

Situasi tersebut kemudian menimbulkan hasrat dalam dirinya untuk membuat satu ‘snapshot’ kehidupan orang Malaysia yang bertema cinta dan keluarga berserta elemen hipnosis.

Merupakan filem ketiga dihasilkan Nik Amir selepas KIL dan Terbaik Dari Langit, idea menghasilkan Imaginur timbul memandangkan dia begitu berminat dengan minda manusia yang kompleks.

“Idea menghasilkan filem ini sudah ada sejak sebelum saya mengarahkan filem pertama iaitu KIL.

“Akhirnya, saya bergandingan dengan Redza Minhat untuk menulis sebuah filem bertema cinta, hipnosis dan kehidupan.

“Selepas lama tak bikin filem, saya nak buat kemunculan semula dengan idea asal, maka terhasillah Imaginur,” jelasnya.

Diterbitkan oleh Lumatic Films, Imaginur menyaksikan gandingan hebat antara Beto Kusyairy bersama Diana Danielle selaku bintang utama.

Selain berdepan cabaran pandemik membuatkan penggambaran tergendala, faktor kewangan juga menjadi halangan.

“Sebagai syarikat kecil, cabaran terbesar sudah semestinya dari segi kewangan. Lumatic Films ambil masa lama kumpul dana, dengan bantuan Finas akhirnya filem ini berjaya disiapkan.

“Pembikinan filem juga terganggu dek pandemik tetapi masa yang ada digunakan untuk kami halusi perincian dalam naskhah ini,” katanya lagi.

Selain kekuatan dua pelakon utama, Imaginur juga kata Nik Amir mempunyai daya tarikan tersendiri untuk membawa penonton datang ke pawagam pada 23 Februari depan.

Plot yang penuh misteri dan menjadi tanda tanya, jalan cerita yang ada unsur misteri selain tidak terlalu ‘straight forward’ mampu memberi kepuasan kepada penonton.

“Saya harap cerita seperti ini mendapat sambutan masyarakat dan menyentuh perasaan penonton.

“Kami cuba menyajikan sesuatu yang alternatif dari segi plot dan penyampaian dengan harapan lebih banyak filem seperti ini dapat dihasilkan sekali gus menjadi kebanggaan rakyat Malaysia,” kata Nik Amir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI