fbpx

14 diberkas termasuk ‘mastermind’ sindiket, dadah RM1.67 juta disita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAMARUL ZAMAN (dua dari kanan) menunjukkan rampasan dadah bernilai RM1.67 juta pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru hari ini. Foto RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Polis Johor berjaya menumpaskan kegiatan jahat sindiket pengedaran dadah yang didalangi warga asing apabila memberkas 14 individu dalam sembilan serbuan di empat daerah di negeri ini.

Dalam operasi khas bermula antara pukul 1 tengah hari, 5 Januari sehingga 7 petang, 14 Januari lalu itu, 14 individu yang diberkas terdiri daripada lapan warga asing serta enam warga tempatan.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, mereka merupakan sembilan lelaki dan lima wanita diberkas itu berusia 21 hingga 48 tahun selain polis turut merampas pelbagai jenis dadah termasuk 70,004 biji pil eramin 5, 54.70 gram (g) syabu, ekstasi, ganja serta heroin bernilai RM1.67 juta.

“Hasil risikan dan maklumat yang diperolehi Polis Johor berjaya menumpaskan kegiatan sindiket pengedaran dadah didalangi warga asing hasil dalam sembilan serbuan di kawasan Kulai, Iskandar Puteri, Seri Alam serta Mersing,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Kamarul Zaman berkata, modus operandi yang digunakan sindiket yang aktif sejak Oktober tahun lalu ialah menjadikan rumah mewah berpagar serta dijaga pengawal keselamatan sebagai stor atau transit dadah terbabit.

Ujarnya, dadah yang disimpan akan dibungkus dan dikira sebelum diedarkan kepada pelanggan ‘kaki disko’ atau ke pusat hiburan dan juga diedar keluar dari negeri ini.

“Dalam serbuan ini juga, polis turut merampas sebuah kereta mewah jenis Maserati Ghibli bernilai lebih RM300,000 yang digunakan lelaki warga asing yang bertindak sebagai ‘mastermind’ sindiket ini.

“Selain itu, pelbagai barang kemas bernilai RM44,441 serta seutas jam tangan jenis Rolex berharga RM45,000 dan keseluruhan nilai rampas termasuk dadah ialah RM2.06 juta,”katanya.

Menurutnya, hasil semakan mendapat sembilan daripada mereka memiliki rekod jenayah lampau serta positif dadah jenis methamphetamin.

Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 15 hingga 21 Januari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Untuk makluman, bermula 1 hingga 14 Januari tahun ini Polis Johor berjaya memberkas 686 individu atas pelbagai kesalahan serta 591.08 kilogram dadah dirampas bernilai RM3.68 juta selain harta disita berjumlah RM915,437.50,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI