fbpx

Larian berkain sarung di kampus UM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SERAMAI 350 peserta menyertai acara Larian Warisan Tradisi Kecemerlangan di Universiti Malaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.

SEMPENA sambutan jubli intan Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), seramai 350 peserta telah menyertai acara larian sambil mengenakan kain sarung.

Acara dikenali sebagai Larian Warisan Tradisi Kecemerlangan itu disertai oleh staf, pelajar dan orang awam dengan menggayakan kain pelekat dan batik.

Dekan Fakulti Pendidikan UM, Prof. Madya Dr. Zawawi Ismail dalam ucapan perasmiannya berkata, program itu adalah manifestasi akal budi para pejuang pendidikan yang membantu kegemilangan fakulti berusia 60 tahun itu.

“Kepelbagaian corak kain sarung, batik dan pelekat menjadi tema serta lambang kepada keutuhan fakulti yang kita sudah bangunkan ini.

“Sehingga tahun lalu, fakulti ini telah melahirkan seramai 48,978 orang graduan.

“Sejak 60 tahun dahulu, fakulti ini telah merintis jalan-jalan ke arah kecemerlangan. Justeru, bagi 60 tahun ke hadapan, generasi hari ini perlu memulakan perancangan bagi memastikan warisan tradisi kecemerlangan ini menjadi agenda utama,” katanya.

Para peserta perlu mengenakan kain sarung sepanjang acara larian berlangsung.

Tambahnya lagi, seperti mana sifat kain batik dan pelekat yang terus utuh di persada dunia, maka Fakulti Pendidikan UM juga perlu mengambil iktibar daripada cerita kegemilangan itu.

“Larian Warisan Tradisi Kecemerlangan merupakan salah satu daripada 60 aktiviti yang dirancang oleh kami sepanjang tahun ini sempena sambutan jubli intan Fakulti Pendidikan UM.

“Falsafah di sebalik larian ini mudah, jika ada dalam kalangan kita yang mampu berlari jauh ke hadapan, biarkan ia berlari dan sokong untuk kejayaannya.

“Namun, jika ada rakan-rakan kita yang tidak mampu lagi untuk berlari, bantu dia dan sama-sama menyokongnya agar semua berjaya sampai ke garisan penamat. Itu erti sebenar seorang pendidik,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, Fakulti Pendidikan UM, Dr. Mohd. Nazri Abdul Rahman berkata, program larian sekitar kampus itu berlangsung lancar seperti apa yang telah dirancang.

Katanya, acara tersebut dikendalikan sepenuhnya oleh 86 pelajar sarjana muda di bawah Precision Intervention Programme dengan bantuan pemimpin persatuan pelajar universiti.

“Penglibatan pelajar dalam mengendalikan program ini menampakkan impak positif kepada kepimpinan, komunikasi dan kerja berpasukan mereka yang terlibat.

“Tidak dinafikan, terdapat kesilapan teknikal dan kelemahan kecil dalam pengurusan aktiviti larian kali pertama ini.

“Namun, mereka dengan bijak dan pantas belajar untuk memperbaiki kesalahan tersebut sehingga berjaya melaksanakannya dengan sangat baik,” katanya.

Salah seorang peserta yang juga pelajar semester pertama, Diploma Pendidikan Pasca Siswazah UM, Muhammad Hifzhan Hanafi berkata, pengalaman yang diperolehi menerusi acara tersebut merupakan sesuatu yang berharga buatnya.

“Saya dapat tahu mengenai acara larian santai ini menerusi hebahan para pensyarah dan rakan-rakan.

“Tanpa berfikir panjang, saya terus mendaftarkan diri. Pada saya, aktiviti santai ini sangat menyeronokkan dan bermanfaat untuk semua.

“Tidak sekadar berlari, peserta juga dapat mengambil udara segar di sekitar kampus, sekali gus membantu menyihatkan tubuh badan dan mencergaskan minda,” katanya yang meminati acara larian sejak sekolah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI