KUANTAN – Sembilan wanita UMNO yang dalam perjalanan pulang selepas menghadiri Persidangan Agung UMNO (PAU) cedera selepas van yang dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik di Kilometer 240.6, Lebuh Raya Pantai Timur di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kejadian pada pukul 5.50 petang itu berlaku ketika kesemua mangsa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Kemaman, Terengganu.
“Apabila sampai di tempat kejadian, van dipandu seorang lelaki berusia 37 tahun dipercayai terbabas ketika cuba mengelak sebuah kereta di hadapan yang membrek secara mengejut.
“Akibat kemalangan itu, sembilan penumpang cedera ringan manakala pemandu van pula tidak cedera,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, kesemua mangsa yang cedera menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Berdasarkan siasatan awal, kemalangan berlaku disebabkan kecuaian pemandu yang tidak dapat mengawal kenderaan semasa memandu. – KOSMO! ONLINE