fbpx

Lama betul isu telur nak selesai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Telur omega lebih banyak diletakkan di premis jualan. - Gambar hiasan

Isu kahwin dua di Siam membabitkan pengarah filem, Syamsul Yusof dengan Ira Kazar menjadi topik hangat yang diperbincangkan banyak pihak pada minggu lepas. Dari kedai kopi hinggalah ke media sosial orang bercakap mengenainya.

Pelbagai pendapat diutarakan. Ada yang sokong, ada yang marah, tak kurang juga yang mahukan Syamsul berdamai dengan isteri pertamanya, Puteri Sarah. Apa pun penulis tidak mahu menyebelahi mana-mana pihak.

Yang penulis tahu, isu panas tersebut tidak merencatkan hasrat ramai lelaki yang ingin berpoligami meneruskan impian mereka dengan menjalani upacara penikahan di negara jiran kita. Baik daripada golongan mereka yang berada dan tak kurang juga mereka daripada kalangan penerima Bantuan Keluarga Malaysia pun turut berkeinginan sama.

Kalau ada kemampuan dan keberanian, apa salahnya. Agama pun tak melarang, tak kira kaya atau kurang mampu. Cuma kalau boleh, tak payah lah ke Siam, buatlah majlis nikah kat sini saja. Lebih elok rasanya.

Apa pun, penulis bukanlah nak mengulas panjang lebar tentang isu nikah dua di Siam ini. Cuma isu panas tersebut bagai melupakan kita seketika terhadap isu kekurangan telur ayam yang dihadapi rakyat sejak akhir tahun lalu.

Lama betul rasanya pihak berkuasa mengambil masa untuk menyelesaikan isu bekalan telur ayam kurang ini yang sehingga kini masih menghantui para peniaga khususnya yang banyak bergantung kepada telur berkenaan selain rakyat marhain yang ramai.

Rasanya, kalau sebelum ini pihak berkuasa bertindak membuka ladang-ladang ternakan ayam telur milik kerajaan di beberapa tempat di seluruh negara, rasanya ladang-ladang tersebut kini telah mampu untuk mengeluarkan hasil dan membekalkan bekalan telur kepada rakyat.

Malangnya, rak-rak yang menempatkan telur ayam sama ada di kedai-kedai runcit mahupun di pasar raya sehingga kini kelihatannya masih kosong. Malah, telur ayam yang kononnya akan diimport dari India juga masih tidak kelihatan.

Yang banyak memenuhi rak ketika ini cuma telur-telur ayam yang mahal seperti telur omega dan yang seangkatan dengannya. Kalau dahulu telur-telur mahal ini hanya dijual dalam kuantiti 10 biji sepeket, tetapi kini telur tersebut telah mula dijual sepapan 30 biji.

Mahu tak mahu, terpaksa la juga beli telur ayam mahal ni. Bagi mereka yang berduit mungkin tak ada masalah, tetapi bagaimana dengan mereka yang tergolong dalam kategori B40? Di kala harga ayam, ikan atau daging kini semua telah melambung naik, telurlah akan menjadi penyelamat kepada mereka di saat terputus bekalan lauk.

Persoalannya sekarang, berapa lama lagikah rakyat harus menunggu masalah bekalan telur ayam ini untuk selesai? Kalau dan susah-susah sangat, guna sahaja wang yang sepatutnya disubsidikan untuk mengawal harga telur sebelum ini untuk membuka ladang-ladang ayam telur milik kerajaan di seluruh negara.

Gunakan segala kepakaran agensi kerajaan yang ada bagi memastikan ladang tersebut mampu mengeluarkan hasil yang terbaik sekaligus menyelesaikan masalah bekalan telur selain dapat mengawal kenaikan harga secara tidak munasabah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI