BINTANG rap terkenal Kanye West dikhabarkan telah pun berkahwin dengan seorang wanita yang dikatakan pekerjanya dalam sebuah majlis tertutup di Beverly Hills, California, Amerika Syarikat pada 12 Januari lalu.
Menurut sumber terdekat penyanyi berusia 45 tahun itu, wanita tersebut bernama Bianca Censori yang bekerja di bawah jenama Yeezy iaitu kasut yang dihasilkan atas kerjasama antara West dengan Adidas.
Menurut sumber itu lagi, majlis perkahwinan antara West dan Censori berlangsung selepas dua bulan kes perceraian antara penyanyi itu dengan bekas isterinya, Kim Kardashian selesai.
“Censori lebih muda 18 tahun daripada West dan berasal dari Australia. Dia bekerja sebagai pereka di Yezzy selama beberapa tahun,” ujar sumber tersebut seperti yang dipetik dalam laporan TMZ.
Berita tentang perkahwinan West sekali gus turut memberi kejutan kepada peminatnya apabila mempersoalkan tentang kesungguhan penyanyi itu untuk menambat semula hati Kim selepas hubungan mereka retak.