fbpx

AYG komited tubuh ‘ruang selamat’ untuk belia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zakiyuddin (tengah) ketika menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman antara AYG dan WPP pada Majlis Perasmian Pusat Interaksi Belia Pangsapuri Wakaf An-Nur di Butterworth, hari ini.

SEBERANG PERAI – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan komuniti, ADAB Youth Garage (AYG) komited menubuhkan lebih banyak pusat interaksi belia atau dikenali sebagai ‘ruang selamat’ dalam usaha melahirkan lebih ramai anak muda kompeten pada masa depan.

Pengasas yang juga Ketua Pegawai Eksekutif AYG, Muhammad Nizam Samsudin berkata, sebanyak lapan buah pusat interaksi belia telah berjaya ditubuhkan di Selangor dan satu di Johor ketika ini.

Menurutnya, Pulau Pinang menjadi destinasi baharu penubuhan pusat itu hasil kerjasama strategik yang dijalin bersama kerajaan negeri, Wakaf Pulau Pinang (WPP), Etiqa Cares serta beberapa pihak yang berkaitan.

“Bagaimanapun, pendekatan (dari segi penubuhan pusat interaksi belia) di Selangor, Johor dan Pulau Pinang ini berbeza dan itulah yang mematangkan kita.

“Kita beri khidmat kepada komuniti setempat untuk biar mereka (golongan belia) ini rasa selamat, mak ayah pun rasa selamat. Kita ada model (pusat interaksi belia) yang berjaya di Bandar Baru Bangi, Selangor (untuk rujukan).

“Di sini (pusat interaksi belia), ada pelbagai kemudahan dan aktiviti untuk mereka. Ada komputer, perpustakaan mini dan sebagainya. Semuanya tidak dikenakan bayaran, percuma sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pusat Interaksi Belia Pangsapuri Wakaf An-Nur oleh Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman di Telok Air Tawar, di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis yang turut melibatkan acara pertukaran memorandum persefahaman antara AYG dengan WPP berhubung penubuhan pusat interaksi belia itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif WPP, Rosidi Hussain.

Difahamkan, AYG kini sedang meneroka peluang untuk menubuhkan sekurang-kurangnya tiga lagi pusat interaksi belia yang baharu termasuk di Kedah dan Perak dalam tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun depan.

Dalam pada itu, Ahmad Zakiyuddin memberitahu, kewujudan pusat interaksi belia di Pulau Pinang akan menjadi penghubung kepada program-program memperkasakan golongan tersebut yang telah wujud sebelum ini.

Justeru, beliau berharap agar kemudahan berkenaan dimanfaatkan sepenuhnya dalam membantu membentuk sahsiah serta jati diri mereka dalam mendepani pelbagai cabaran masa kini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI