KUALA TERENGGANU – Seorang pengasuh sebuah taska dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan mendera seorang bayi yang kini berada dalam keadaan koma.
Tertuduh, Raja Noor Iffa Nadia Raja Nordin, 27, membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Othman.
Berdasarkan pertuduhan pertama sehingga ketujuh, tertuduh didakwa menganiaya seorang bayi lelaki berusia empat bulan berkenaan di sebuah taska di bandar raya ini antara 1 sehingga 3 Januari lalu.
Perbuatan Raja Noor Iffa Nadia didakwa mengakibatkan bayi malang itu mengalami pendarahan di dalam kepala selain retak di bahagian tempurung kepala sebelah kiri.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Kosmo! 11 Januari lalu melaporkan seorang bayi lelaki berusia empat bulan yang bari tiga hari ke taksa berkenaan koma disyaki akibat didera.
Bayi tersebut berada dalam keadaan lemah sewaktu diambil bapanya berusia 29 tahun sebelum segera dihantar ke hospital untuk pemeriksaan pada 4 Januari lalu. – KOSMO! ONLINE