PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan Selamat Hari Pongal kepada seluruh komuniti Tamil di negara ini.
Menerusi satu hantaran di laman Facebook, Anwar berkata, masyarakat Tamil meraikan perayaan Pongal sebagai tanda kesyukuran atas rezeki yang bertambah.
Selain itu kata beliau, hari besar penganut Hindu ini turut menjadi simbol pemangkin bagi menolak amalan atau sikap lama serta mengangkat perubahan dan mencipta anjakan baharu.
“Semoga perayaan tahun ini juga dapat memberi kesejahteraan, keceriaan dan kesihatan yang lebih sempurna untuk semua.
“Selamat Hari Pongal kepada seluruh komuniti Tamil di Malaysia,” tulisnya di Facebook.
Sementara itu, Menteri Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) Mohamad Sabu turut menzahirkan ucapan sama di laman Facebooknya.
Menurut beliau, Pongal dalam bahasa Tamil membawa maksud ‘melimpah-ruah’.
“Susu lembu yang melimpah apabila dipanaskan dalam periuk belanga tanah liat melambangkan kekayaan yang melimpah ruah.
“Saya dan seluruh warga MAFS mengucapkan Selamat Hari Pongal kepada seluruh masyarakat India di Malaysia. Semoga perayaan tahun ini disambut dengan penuh keceriaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE