PETALING JAYA – Cuaca baik dan cerah diramal di seluruh negara ekoran tiada laporan amaran ribut petir serta hujan lebat dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) pagi ini.
Walau bagaimanapun MetMalaysia sebelumnya telah mengeluarkan ramalan cuaca signifikan berdasarkan analisis model-model cuaca yang melibatkan Sabah dan Sarawak.
“Penumpuan angin dijangka berlaku di Sabah serta tengah dan utara Sarawak pada 17 hingga 20 Januari. Ia juga berpotensi menghasilkan ribut petir dan hujan dalam tempoh lebih panjang di kawasan tersebut.
“Sementara itu, ribut petir dan hujan lebat berserta angin kencang juga dijangka berlaku di barat Semenanjung pada sebelah petang dan awal malam dalam tempoh berkenaan,” katanya.
Dalam masa sama katanya, MetMalaysia telah mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora bagi perairan Laut China Selatan berkuat kuasa pada 18 sehingga 20 Januari.
Orang awam juga dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih. – KOSMO! ONLINE