fbpx

UMNO teliti sebarang tindakan disiplin terhadap KJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid (kiri) pada sidang media selepas menyampaikan ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) hari ini.

KUALA LUMPUR – UMNO akan meneliti sebarang tindakan disiplin terhadap bekas Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang menuduh terdapat komplot ‘Dewan Merdeka’ untuk menyokong usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu akan dibincangkan oleh Lembaga Disiplin UMNO bagi menentukan nasib Khairy Jamaluddin.

“Itu satu perkara lain yang akan diperbincang oleh lembaga disiplin parti dan dibawa ke jawatankuasa pengurusan yang dipengerusikan bekas Ketua Bahagiannya (Datuk Seri Mohamad Hassan),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) di sini hari ini.

Beliau turut menjelaskan, tiada mana-mana individu boleh memasuki dewan berkenaan selagi tidak mempunyai kad rasmi perwakilan.

“Mana boleh masuk kalau tak ada kad ini,” jelasnya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan bekas Ahli Parlimen Rembau itu mendakwa wujud komplot ‘Dewan Merdeka’ bertujuan meluluskan usul tambahan dua jawatan tertinggi UMNO yang tidak dipertandingkan dalam pemilihan akan datang.

Khairy Jamaluddin mendakwa, beberapa tanda nama yang dikhaskan untuk perwakilan UMNO pada kerusi dalam Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, telah ditanggalkan untuk undian usul pada petang ini sempena PAU2022.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan adalah sah serta tidak melanggar Perlembagaan dan peraturan UMNO.

Menurutnya, usul tambahan perkara lapan daripada usul pencadang dasar itu adalah sepenuhnya mengikuti fasal yang termaktub dalam Perlembagaan parti.

Tambah beliau, keputusan yang dilakukan hari ini adalah muktamad berikutan PAU adalah badan tertinggi di dalam parti dan tercatat secara jelas dalam Perlembagaan.

“Maka keputusan tadi adalah muktamad sesuai dengan apa yang saya nyatakan dalam wawancara atau kenyataan media sebelum ini, bahawa sesungguhnya kami berdua (saya dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan) menyerahkan perkara ini kepada perwakilan.

“PAU adalah badan tertinggi dalam UMNO dan ini tercatat dengan jelas dalam Perlembagaan (parti) sendiri,” katanya.

Terdahulu, perwakilan PAU2022 meluluskan usul supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti yang perlu diadakan selewat-lewatnya sebelum 19 Mei ini.

Ia berikutan undian dibuat apabila perwakilan yang menyokong usul bangun dan jumlah itu melebihi perwakilan yang tidak menyokong usul berkenaan.

Pengerusi Barisan Nasional itu juga berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada penasihat undang-undang sekiranya terdapat pihak mencabar keputusan perhimpunan kali ini.

“Pengerusi Tetap juga sudah sebut bahawa harus bersama-sana mempunyai semangat pasukan mara kehadapan dan tidak lagi toleh ke belakang, kiri atau kanan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI