BERA – Seorang lelaki berusia 20 tahun dikhuatiri lemas selepas hilang ketika dipercayai sedang mandi di Sungai Pahang dekat Kampung Batu Bor, di sini, pada Sabtu.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bera, Ahmad Azmi Nafiah berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu berlaku ketika mangsa, Faizal Akmal Fikri Mohd Fauzi yang berasal dari Kampung Bukit Lada Awah, Temerloh dipercayai mandi berseorangan di sungai berkenaan.
“APM menerima panggilan kecemasan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Batu Bor, Samsudin Taib yang memaklumkan kejadian tersebut pada pukul 5.15 petang.
“Seramai 10 anggota APM digegaskan ke lokasi kejadian bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR),”katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, seramai sembilan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Triang bergegas ke lokasi kejadian bagi melakukan SAR di sekitar lokasi kejadian.
“Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai berseorangan. Malah motosikal serta selipar milik mangsa didapati ada di lokasi kejadian,” ujarnya.