fbpx

Pekerja tak cukup di ladang punca bekalan, harga minyak tak stabil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SALAHUDDIN menulis kaligrafi yang memberi maksud Negara Makmur Rakyat Sejahtera sempena Majlis Perasmian Pertandingan Kaligrafi sempena Tahun Baharu Cina di pusat membeli belah Paradigm Mall, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Bekalan dan harga jualan minyak masak tempatan dijangka akan dapat distabilkan selepas isu kekurangan tenaga kerja asing yang dihadapi pemain industri sektor perladangan dapat diatasi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, isu berkenaan berlaku susulan kekurangan tenaga kerja yang dihadapi sektor perladangan ketika ini.

Menurut beliau, kekurangan kemasukan tenaga kerja menyebabkan bekalan produk berkenaan berdepan masalah kekurangan pengeluar yang menjejaskan harga jualannya.

“Kita sedang dalam peringkat akhir perbincangan dengan pemain industri perladangan, dimana antara perkara diutarakan mereka adalah isu kemasukan pekerja asing. Mereka berharap perkara ini dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.

“Setakat ini Kabinet telah buat satu keputusan penting iaitu kita sasarkan isu pekerja asing akan dapat diselesaikan dalam masa tiga bulan, jadi mungkin pada akhir Mac ini kita akan dapat berikan jumlah pekerja asing mencukupi kepada semua sektor, khususnya pembinaan dan juga perladangan, itu kita utamakan.

“Hasil pertemuan dengan pihak perladangan iaitu pemain industri kelapa sawit, mereka bersedia untuk berbincang tentang harga malah harga itu dapat distabilkan sekiranya mereka kembali dapat jumlah pekerja mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Kaligrafi Sempena Tahun Baharu Cina anjuran pusat beli belah Paradigm Mall, di sini hari ini.

Sementara itu, Salahuddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Pulai turut memberitahu, pihaknya juga menjangka masalah kekurangan bekalan telur tempatan khususnya gred A akan kembali pulih dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

“Soal bekalan telur, kita juga telah adakan libat urus bersama pembekal dan sekarang kita sedang berusaha untuk memastikan bekalan sedia ada mencukupi.

“Kita juga tiada sebarang keputusan ketetapan untuk menyekat eksport telur ke luar negara kerana pengeluarannya ketika ini adalah pada tahap 112 peratus. Memang ketika ini bekalan tempatan kurang tetapi itu akan selesai dalam beberapa bulan ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Salahuddin turut meminta kerjasama masyarakat khususnya golongan ibu bapa agar membuat aduan secara terus kepada kementerian agar tindakan segera dapat diambil berhubung isu pengusaha kantin menaiki harga jualan secara mendadak.

“Setiap aduan, pengguna boleh buat aduan dengan memaklumkan lokasi lokasi dan sekolah mana agar tindakan segera akan diambil secara satu persatu, pihak sekolah juga perlu ambil maklum berhubung perkara ini,” ujarnya lanjut. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI