LONDON – Pengendali Newcastle United, Eddie Howe percaya pertemuan dengan Fulham di St. James Park, malam ini bakal menjanjikan ujian sebenar buat barisan pemain pertahanannya.
Selepas mengharungi 18 perlawanan, The Magpies muncul pasukan yang bolos paling sedikit apabila hanya melepaskan 11 gol dan kini Howe memasang harapan untuk menambah satu lagi kemenangan bagi mengukuhkan kedudukan di kelompok teratas.
Bagaimanapun, Howe tetap waspada dengan ancaman Fulham kerana Marco Silva sudahpun memimpin anak buahnya raih kemenangan dalam lima aksi terakhir termasuk atasi Chelsea, awal pagi kelmarin.
“Fulham sedang berada pada prestasi terbaik dan saya fikir Marco sudah pun melakukan tugasnya dnegan cukup cemerlang. Saya cukup kagum dengan cara permainan mereka.
“Permainan mereka sebagai satu unit cukup baik dan mereka berjaya bermain bola sepak dengan hebat. Secara taktikal, mereka adalah pasukan yang begitu menarik untuk disaksikan.
“Pemain mereka sedang berada pada prestasi terbaik dan pastinya mereka akan menjadi lawan yang sukar. Jadi, saya fikir ia akan menjadi ujian sebenar kepada kemampuan pertahanan kami,” katanya.
Berdasarkan kedudukan semasa dalam carta Liga Perdana Inggeris, Newcastle dan Fulham tidak jauh beza dengan menyaksikan The Magpies yang mengumpul 35 mata hanya dipisahkan empat mata berbanding The Cottagers. – AGENSI