fbpx

EPL: Conte yakin Kane bakal ledak gol aksi derbi utara London

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KANE turun dengan misi untuk menjaringkan gol bagi membantu kemenangan Spurs dan mencipta rekod peribadi sebagai penjaring terbanyak kelab berkenaan. – AFP

LONDON – Penggempur sensasi Tottenham Hotspur menerima soko­ngan penuh pengurusnya, Antonio Conte untuk memecahkan rekod penjaring terbanyak kelab itu milik Jimmy Greaves ketika mereka dijadual beraksi pada aksi derbi utara London menentang Arsenal awal pagi esok.

Conte menyifatkan kapten England itu bukan sahaja seorang penyerang berkelas dunia, tetapi dia juga seorang lelaki yang baik dan layak untuk mengambil alih gelaran penjaring terbanyak Spurs serta mengatasi beberapa lagi rekod kelab itu.

Pada usia 29 tahun, Kane juga muncul sebagai penjaring terbanyak aksi derbi utara London apabila sudah meledak 14 gol dan mencetak nama sebagai penja­ring dalam tujuh daripada lapan aksi menentang Arsenal di laman sendiri.

Setakat ini, Kane berjaya menjaringkan 265 gol untuk Spurs termasuk gol tunggal perlawanan ketika menewaskan Portsmouth bagi memastikan pasukan itu layak ke pusingan keempat Piala FA sekali gus ketinggalan satu gol untuk menyamai rekod Greaves.

“Anda mengenali Kane, mungkin lebih daripada saya kenal dirinya mengenai betapa pen­tingnya dia buat kami, untuk Tottenham dan pasukan kebangsaan. Dia memiliki jumlah jari­ngan yang baik untuk kelab dan negaranya.

“Kita bercakap mengenai penyerang berkelas dunia, sudah tentu dia mampu untuk meng­atasi setiap rekod yang ada. Saya fikir dia layak, tetapi saya juga tidak mahu melupakan beberapa aspek lain kerana dia juga adalah seorang lelaki yang hebat,” kata Conte.

Kane juga ketika ini hanya memerlukan dua gol untuk menjadi pemain ketiga berjaya meledak 200 gol untuk aksi Liga Perdana Inggeris selepas Alan Shearer (260) dan Wayne Rooney (208).

Menjelang aksi menentang Arsenal, Conte percaya tonggak jentera serangannya itu mampu untuk memecahkan atau sekurang-kurangnya menyamai rekod Greaves.

“Pada masa yang sama, kami akan cuba membantunya dan jika dia menjaringkan gol, dia akan membantu kami,” jelasnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI