Oleh TOREK SULONG
PASIR PUTEH – Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pasir Puteh berjaya menahan sembilan penagih dadah termasuk bapa dan anak lelakinya dalam Ops Cegah yang dijalankan dari rumah ke rumah di sekitar daerah ini semalam.
Ketua Pegawai AADK Pasir Puteh, Azlina Mohd. Zain berkata, kesemuanya mereka dipercayai penagih pil kuda selepas ujian air kencing dijalankan mendapati mereka positif dadah jenis Methamphetamine.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, kebanyakan penagih terbabit bekerja sebagai buruh dan kerja kampung.
“Ops Cegah yang dilaksanakan dari pukul 6 pagi hingga 4 petang di kawasan Semerak, Selising dan Limbongan.
“Kita menjalankan pemeriksaan dari rumah ke rumah yang sudah dikenalpasti hasil maklumat awam dan risikan anggota AADK,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Menurut Azlina, suspek yang ditahan berusia antara 27 hingga 52 tahun termasuk seorang pesakit yang menghidap penyakit tekanan darah tinggi berusia 41 tahun.
Katanya, dadah tidak pernah mengenal usia berdasarkan hasil tangkapan penagih yang sudah mempunyai cucu pun turut terjebak.
Menurutnya, kebanyakan penagih terbabit terkejut dan tergamam kerana mereka tidak menyangka kehadiran anggota AADK melaksanakan Ops Cegah dari rumah ke rumah yang turut disaksikan ahli keluarga mereka.
Azlina berkata, operasi kali ini berjaya menjejaki enam kes penagih baru dan tiga kes penagih tegar.
Katanya, lima penagih ditahan reman di Pusat Tahanan AADK Pasir Mas mulai semalam dan tiga lagi di Pusat Tahan Reman Besut, Terenganu mulai hari ini.
Tambahnya, seorang lagi penagih dibebaskan dengan jaminan dan pengawasan kerana masalah kesihatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Penagih Dadah (APD) (Rawatan & Pemulihan) 1983. – K! ONLINE