JAKARTA – Harga tiket pesawat komersial turun untuk pelbagai destinasi di Indonesia awal tahun ini dengan salah satu laluan penerbangan dari Jakarta ke Bali ditawarkan pada harga sekitar 672,000 rupiah (RM189.93) hingga 1.9 juta rupiah (RM537) untuk kelas ekonomi, lapor portal berita CNN Indonesia semalam.
Bukan sahaja Bali tetapi pelbagai syarikat penerbangan menawarkan harga tiket lebih murah dari Jakarta untuk destinasi lain seperti Surabaya dan Medan.
Menurut portal berita itu yang melakukan pemantauan dalam aplikasi Tiket.com, laluan dari Jakarta ke Surabaya menyaksikan harga tiket bermula dari 656,000 rupiah (RM183.71) hinggalah yang paling mahal 2.7 juta rupiah (RM763.10) setakat kelmarin.
Tiket pesawat penumpang untuk penerbangan dari Jakarta ke Medan pula ditawarkan dalam aplikasi itu pada harga dari 935,000 rupiah (RM264.26) hingga 3.1 juta rupiah (RM876.16).
Dalam pada itu, di laman web Traveloka.com, harga tiket pesawat bagi laluan Jakarta ke Bali adalah mulai dari 675,000 rupiah (RM190.78) hingga 1.9 juta rupiah (RM537) pada Sabtu.
Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Sandiaga Uno menyatakan harga tiket pesawat itu turun kerana harga bahan api yang rendah, laport portal berita detikfinance. – AGENSI