SHAH ALAM – Kepantasan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan dua pencemaran berjaya mengelakkan henti tugas dua Loji Rawatan Air (LRA), semalam.
Kedua-dua pencemaran yang dikesan itu adalah bahan-bahan kebakaran kilang plastik di Semenyih dan minyak diesel di Sungai Slim River, Perak antara pukul 3.30 petang dan 5.24 petang.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, berdasarkan pemerhatian mendapati jarak pencemaran itu adalah masing-masing kira-kira 19 kilometer (km) di muka sauk LRA Semenyih dan 21 km bagi LRA Bernam River Headworks (BRH).
Katanya, bagi kes di Semenyih itu mengesan bahan-bahan pembuatan industri dan produk pengeluaran kilang tersebut yang telah melarut bersama aliran air semburan operasi pemadaman (cecair hitam dan berminyak).
Ini seterusnya mengalir masuk ke dalam sistem perparitan persekitaran.
“Tiga oil boom digunakan bagi menyekat san dan menakung aliran tersebut di kawasan longkang utama sepanjang 200 meter dari lokasi kebakaran sehingga kerja pemadaman selesai.
“Takungan aliran berkenaan juga dirawat menggunakan 13 beg activated carbon (AC) bagi tujuan nyah bau sebelum aliran tersebut masuk ke Sungai Kabul,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, hasil kekerapan pensampelan LUAS serta
pemantauan berterusan sehingga pukul 7 pagi tadi mendapati baut di sungai tersebut adalah normal serta tiada sebarang kesan sisa bahan terbakar kelihatan di kawasan sungai.
Jelas Loy Sian, peralatan Portable UV Analyzer pula digunakan bagi memastikan tiada kesan sisa minyak diesel atau bau di dalam sungai bernam susulan kejadian pencemaran di Sungai Sungai Slim River tersebut.
“LUAS juga telah memaklumkan segera kepada pihak operator LRA BRH bagi kesiapsiagaan dengan pemasangan oil boom di muka sauk.
“Hasil juga turut menunjukkan tiada
impak dan kesan bau di Sungai Bernam yang merupakan punca utama bekalan air kepada muka sauk LRA BRH,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau bagaimanapun menegaskan pemantauan berterusan dilakukan bagi mengelakkan insiden pencemaran ini berulang memandangkan lokasi punca adalah di luar kawasan Selangor. -KOSMO!ONLINE