fbpx

Subsidi haji RM17,652 tahun lalu libatkan B40

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tabung Haji (TH) telah menanggung 62 peratus subsidi atau bersamaan RM17,652 bagi seorang jemaah haji golongan B40 yang menunaikan ibadah berkenaan pada tahun 2022.

Bagi jemaah bukan golongan B40 pula, subsidi ditanggung oleh TH adalah sebanyak 55 peratus atau bersamaan RM15,562 setiap seorang.

TH berkata, pemberian subsidi tersebut ditanggung melalui Bantuan Kewangan Haji atau Hajj Financial Support (HAFIS), yang mana TH membiayai sebahagian besar kos haji jemaah Malaysia yang menunaikan ibadah itu buat pertama kali secara Muassasah.

“Ini dilakukan melalui penetapan Bayaran Haji bersasar pada kadar RM10,980 (38 peratus daripada kos sebenar haji) sejak 2022 bagi jemaah B40, manakala RM12,980 (45 peratus daripada kos sebenar haji) bagi jemaah bukan B40.

“Bagaimanapun, bagi jemaah Muassasah yang menunaikan haji kali kedua, mereka tidak diberikan bantuan oleh HAFIS dan perlu membayar kos penuh untuk menunaikan haji,” kata TH kepada Kosmo!

TH memaklumkan, kos sebenar untuk menunaikan haji pada tahun lalu adalah RM28,632 setiap seorang.

TH memaklumkan, kos pada tahun 2019 adalah sekitar RM22,900, manakala pada tahun 2022 telah meningkat sebanyak 25 peratus setelah dua tahun ditangguhkan akibat penularan Covid-19 di seluruh dunia.

“Daripada jumlah itu, 64 peratus kos berkenaan melibatkan tiket penerbangan (cater) dan penginapan sepanjang menunaikan ibadat tersebut.

“Manakala, 36 peratus daripada baki kos itu adalah untuk membayar pengangkutan bas, sajian makanan dan mutawif untuk 40 hingga 45 hari semasa menunaikan haji,” ujar TH.

Beritahu TH lagi, dengan adanya HAFIS juga, bayaran haji iaitu wang yang dibayar oleh seorang jemaah kepada TH untuk membolehkan menunaikan haji adalah rendah daripada kos sebenar.

“Sumber kewangan HAFIS pula adalah daripada pendapatan aktiviti pelaburan TH dalam pelbagai sektor yang membolehkan agensi itu menyalurkan bantuan subsidi kepada jemaah terpilih menunaikan ibadat haji “ jelas TH.

Pada masa sama, kata TH, selain menyalurkan bantuan subsidi, pihaknya turut memberi pulangan kepada semua pendepositnya setiap tahun.

Ujar TH, pulangan tersebut dilaksanakan menerusi agihan keuntungan dan jumlah agihan itu bergantung kepada kadar peratusan setiap tahun.

“Agihan keuntungan ini diperoleh hasil pendapatan yang telah ditolak kos operasi TH, bantuan kewangan haji serta zakat,” ujarnya.

Dalam pada itu, TH memaklumkan, ketika ini, kebanyakan kos untuk menunaikan rukun Islam ke lima tersebut telah mengalami kenaikan mendadak.

Ujar TH, antara faktor kenaikan tersebut adalah disebabkan oleh kadar inflasi dan kos sara hidup di Arab Saudi yang meningkat.

“Selain itu, pergerakan mata wang dan pengenalan caj serta cukai baharu di Arab Saudi turut mempengaruhi kenaikan kos terbabit.

“Penambahbaikan kualiti perkhidmatan dan kemudahan serta pembangunan di Mekah dan Madinah turut menyebabkan kenaikan kos semasa untuk menunaikan ibadat tersebut. Kesemua faktor ini adalah di luar kawalan pihak TH,” ulasnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Razali Mohd. Sham mengakui, terdapat kenaikan kos mengerjakan umrah yang amat ketara sejak kebelakangan ini.

Antara kenaikan yang paling ketara adalah bagi penginapan dan kos tiket kapal terbang pergi dan balik ke Tanah Suci.

“Sebagai contoh, harga hotel dahulu RM190 kini naik sehingga RM300, harga visa juga naik daripada RM170 kepada RM700. Begitu juga dengan harga tiket kapal terbang sekitar RM2,700, sekarang sudah mencecah RM4,800 hingga RM5,000.

“Kenaikan ini didorong oleh beberapa faktor, antaranya pembukaan sempadan oleh kebanyakan negara ekoran penurunan kes Covid-19 memudahkan urusan orang ramai ke Tanah Suci,” katanya.

Razali menambah, dijangka kos untuk menunaikan haji tahun ini menerusi TH meningkat mungkin sehingga RM30,000, manakala jika melalui ejen atau agensi kosnya antara RM50,000 hingga RM80,000.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI