Oleh YATIMIN ABDULLAH
PASIR MAS – Polis Kelantan telah mengeluarkan sebanyak 35 kompaun kepada pemilik premis di negeri ini yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Pemulihan (PKPP).
Ketua Polis negeri, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, tindakan itu merupakan satu usaha polis dalam memastikan pemilik premis mematuhi SOP dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.
Menurutnya, pihak polis sama sekali tidak akan berkompromi dengan pihak yang gagal mematuhi SOP.
“Hasil pemeriksaan yang kita jalankan, kebanyakan pemilik premis gagal menyediakan cecair pembasmi kuman, alat pemeriksa suhu badan dan buku rekod kedatangan pelanggan.
“Kesalahan ini jelas melanggar SOP yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas turun padang meninjau pematuhan SOP di Pasar Tasek Raja di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sharif dan Ketua Jajahan Pasir Mas Nik Mohamed Nor Nik Ishak.
Mengulas lanjut, Shafien berkata, berdasarkan pemerhatian polis, kepatuhan rakyat terhadap SOP di seluruh negeri ini berada pada tahap 95 peratus.
Katanya, jumlah itu jelas menunjukkan pemahaman dan pematuhan SOP semakin bertambah baik. – K! ONLINE