BACHOK – Masjid Al-Abrar, Pauh Sembilan di sini menawarkan skim khairat kematian tanpa sebarang bayaran caruman kepada lebih 4,000 penduduk kampung bagi meringankan bebanan kos pengurusan jenazah bermula hari ini.
Imam Tua Masjid Al-Abrar, Mohd. Yuzakky Mohd. Yusoff berkata, tabung khas bagi Skim Khiarat Kematian Tanpa Yuran berjumlah RM40,000 disediakan untuk peringkat awal akan memudahkan penduduk yang berdepan dengan kenaikan kos pengurusan jenazah sejak kebelakangan ini.
Menurutnya, setiap penduduk yang berdaftar skim itu bakal mendapat manfaat tanggungan kos pengurusan kematian mereka berjumlah RM4,650 yang merupakan sebahagian skim kebajikan yang dilaksanakan pengurusan masjid.
“Skim tersebut tidak melibatkan bayaran yuran atau caruman bulanan. Apabila berlaku kematian, pihak masjid akan menanggung dan mengurus kesemua kos berkaitan jenazah bermula daripada proses memandikan hingga kepada majlis tahlil selama tiga malam.
“Syarat utama bagi menyertai skim itu untuk penduduk adalah mereka perlu hadir solat berjemaah di masjid sekurang-kurangnya satu waktu sehari. Ia bagi memulakan disiplin mencapai solat lima waktu secara berjemaah di masjid,” katanya ketika ditemui pada Majlis Bekwoh Anak Mukim dan Pelancaran Skim Khiarat Kematian Tanpa Yuran di Masjid Al-Abrar di sini hari ini.
Majlis itu disempurkan oleh Imam Besar Majlis Agama Islam dan Adat istiadat Melayu Kelantan (Maik), Hanafizi Abdullah.
Mengulas lanjut, Yuzakky berkata, dana kewangan bagi skim itu diperoleh daripada sedekah waktu solat subuh yang disumbang orang ramai dan kaedah itu dipersetujui ahli jawatankuasa masjid.
Katanya, skim itu turut menyediakan sumbangan wang tunai RM500 yang dikenali sebagai khairat ihsan kepada keluarga si mati.
“Masjid Al-Abrar sebelum ini membantu anak-anak yatim dan menyantuni bekas penagih dadah untuk terus cekal kembali ke pangkal jalan,” katanya. – KOSMO! ONLINE