KUALA LUMPUR – UMNO Wilayah Persekutuan menolak usul tambahan yang dikemukakan perwakilan ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 semalam supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan pada pemilihan parti tidak lama lagi.
Wakil Pembahas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Seri Zainal Abidin Mohd Rafique berkata, hal tersebut boleh memberi kesan bukan sahaja kepada parti malah kepada 60 peratus pengundi Melayu di negara ini yang sedang memerhati senario yang berlaku.
Katanya, UMNO perlu menyedari sentimen terhadap isu ini boleh mempengaruhi sentimen sokongan pengundi Melayu terhadap UMNO.
“Isu ini jika tidak diberikan perhatian yang serius mungkin memberi kesan bukan sahaja kepada parti, malah kepada 60 peratus pengundi Melayu di luar sana yang sedang memerhati gelagat kita.
“Sekiranya jawatan ini tidak dipertandingkan, saya bimbang pengundi di luar parti akan menilai parti kita dari perspektif yang negatif,” katanya berucap membahaskan Usul Ucapan Dasar Presiden UMNO di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.
Dalam pada itu, Zainal Abidin turut meminta agar semua ahli parti mengikhlaskan hati dan selari dengan perbuatan untuk menuju ke hadapan.
Katanya, masih belum terlambat untuk ahli UMNO memberi nafas baru dan segar kepada parti ketika ini. – KOSMO! ONLINE.