PETALING JAYA – Sebuah kereta Perodua Kancil menjadi perhatian ramai apabila diubah suai menjadi trak pikap oleh pemiliknya yang berasal dari Kundasang, Ranau.
Pemilik, Hardianshah Saleh, menerusi hantarannya berkata, keterbatasan sumber menjadi pencetus kreativiti dalam mendepani cabaran hidup.
Hantaran gambar tersebut kemudian menjadi tular sebaik dikongsi menerusi halaman Facebook Sabah Info.
“Memperkenalkan kombinasi Hilux dan Kancil buatan penduduk Kundasang. Demikianlah, apabila kurangnya daya, dana dan sumber maka mereka akan menggunakan kreativiti sendiri berbekalkan bahan yang ada,” katanya menerusi ruangan kapsyen.
Meninjau ruangan komen, rata-rata netizen memuji kreativiti serta kemahiran penduduk terdiri daripada pekebun yang berjaya mengubah suai kereta berkapasiti kecil menjadi jentera mengangkut hasil pertanian.
“Trak pikap merupakan satu modifikasi baik untuk pengangkutan membawa hasil kebun ke pasar tani untuk dijual,” kata Malzero Malzero.
“Mereka mengubah suai kereta bukan untuk suka-suka melainkan untuk memudahkan kerja-kerja pekebun seperti mengangkut sayur,” komen Eja Shahrul Lyza.
“Mantap. Bukan sahaja berbakat menanam sayur bahkan memiliki idea hebat sehingga ke bidang automotif. Tahniah,” tulis Gas Win pula.
Hantaran tersebut telah meraih 11,000 maklum balas dan 2,000 perkongsian daripada pengguna media sosial setakat ini. – KOSMO! ONLINE