fbpx

‘Bakat tak kenal warna kulit, Barat makin akui kehebatan Asia’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DONNIE YEN memuji kejayaan rakan seperjuangan, Michelle Yeoh yang akhirnya dinobatkan sebagai pelakon wanita terbaik di Hollywood selepas lebih 40 tahun berjuang di sana. - FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR.

KUALA LUMPUR – “Kita (orang Asia) sama berbakat seperti orang lain.”

Itu kata-kata daripada bibir bintang filem aksi Hong Kong, Donnie Yen memuji kejayaan rakan seperjuangan Tan Sri Michelle Yeoh yang baru-baru ini dinobatkan sebagai pelakon wanita terbaik acara berprestij, Golden Globe Awards ke-80.

Kata Donnie atau nama sebenarnya, Yen Chi-tan, 60, sepatutnya sudah lama dahulu Hollywood mengiktiraf bakat lakonan penggiat seni Asia yang sememangnya sukar disangkal kualitinya.

“Lakonan adalah tentang bakat bukan warna kulit ataupun budaya seseorang. Saya sendiri tak mengerti mengapa Hollywood mengambil masa terlalu lama untuk mengakui kehebatan orang Asia.

“Bagi saya, kejayaan yang digapai Michelle sudah diperakui sejak lama dahulu. Saya berbangga melihat sekarang banyak penghargaan diterima pelakon atau penggiat seni Asia.

“Kalau kalian lihat margin (peratusan) peluang diraih orang Asia berbanding orang Barat, memang masih terlalu kecil atau rendah,” katanya kepada Kosmo! Online sebentar tadi.

Tegas pelakon asal Guangzhou, Guangdong, China itu lagi, orang Asia perlu meletakkan usaha yang lebih tinggi untuk terus dipandang Hollywood pada masa mendatang.

“Kita perlu terus berjuang. Kita tidak boleh setakat berlakon dalam filem dan mengharapkan kejayaan datang bergolek.

“Kita perlu betul-betul berani untuk memainkan sesuatu karakter dengan cemerlang dan menunjukkan kepada dunia (khususnya Hollywood) bahawa orang Asia boleh berlakon watak yang lazimnya warna kulit menjadi penghalang.

“Orang Asia perlu ada semangat untuk memulakan sesuatu. Mentaliti seorang pejuang itu perlu sentiasa ada,” ujar Donnie lagi.

DONNIE YEN menegaskan bahawa orang Asia sememangnya mempunyai bakat lakonan luar biasa sama seperti penggiat Hollywood. – FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR.

Donnie hadir ke Kuala Lumpur bagi mempromosikan filem terbaharunya, Sakra yang turut dibintangi beberapa pelakon lain seperti Wu Yue, Kara Wai, Cya Liu, Cheung Siu Fai termasuk penampilan khas daripada Lui Leung Wai dan Tsui Siu Ming.

Filem arahan dan terbitannya tersebut bakal ditayangkan pada 16 Januari 2023.

Donnie dan Michelle pernah beberapa kali berlakon bersama menerusi filem seperti Butterfly and Sword (1993), Wing Chun (1994) dan Crouching Tiger, Hidden Dragon: Sword of Destiny (2016).

Terdahulu, Michell Yeoh menjadi orang Asia kedua selepas aktres Awkwafina dinobatkan sebagai pelakon wanita terbaik pada Golden Globe Awards yang selama ini dimonopoli orang Barat.

Michelle mencipta sejarah tersendiri buat negara apabila menjadi orang Malaysia pertama memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik Filem Muzikal atau Komedi untuk filem Everything Everywhere All at Once arahan sutradara, Daniel Kwan dan Daniel Scheinert.

Kemenangan tersebut sekali gus menyaksikan Michelle atau nama sebenarnya, Michelle Yeoh Choo Kheng menewaskan aktres hebat Hollywood lain seperti Lesley Manville, Margot Robbie, Anya Taylor-Joy dan Emma Thompson. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI