LONDON – Juara dunia MotoGP tiga kali, Jorge Lorenzo menasihatkan agar Marc Marquez membuat keputusan bijak terutama memilih ‘duit atau gelaran’ selepas memberi bayangan bahawa Honda tidak mampu lagi menyaingi Ducati.
Ketika ini, Marquez mengikat kontrak bersama Repsol Honda sehingga 2024 dan terhutang budi dengan pasukan Jepun itu terutama bersabar mengenai kecederaan yang menimpanya.
Bagaimanapun, kehadiran semula Marquez tidak berjalan dengan baik apabila jentera buatan Jepun itu sukar untuk menandingi Ducati pada musim lalu.
“Jika diilihat ketika ini, Marquez mahu terus memenangi gelaran dunia MotoGP dan sekarang dengan Honda dia mungkin sukar untuk melakukannya.
“Akan tiba masanya dia (Marquez) perlu memilih antara memenangi gelaran dunia atau pendapatan lumayan walaupun saya tidak fikir Honda akan terus menawarkan kontrak yang sama kepadanya sebaik berakhirnya musim 2024,” kata Lorenzo.
Sebelum ini, Alex Marquez percaya abangnya yang juga juara dunia MotoGP enam kali, Marc Marquez tidak teragak-agak untuk ‘angkat kaki’ andai gagal memberikan saingan kompetitif bersama Repsol Honda pada musim depan.
Alex mendedahkan bahawa abangnya dilihat kecewa apabila jentera prototaip yang diberikan oleh Repsol Honda untuk musim 2023 masih lagi tidak mencapai tahap terbaik sekiranya mahu mencabar kejuaraan dunia.
– AGENSI