Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
PENJAGA gol kebangsaan, Ahmad Syihan Hazmi menjadi pemain baharu yang akan memperkuatkan skuad juara Liga Super sembilan musim berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Perpindahan pemain itu dari pasukan Negeri Sembilan diumumkan menerusi video pendek berdurasi 56 saat yang dimuat naik di Facebook rasmi JDT, Johor Southern Tigers semalam.
Khabar angin bahawa pemain berusia 26 tahun itu bakal menyertai JDT bertiup kencang selepas saingan Liga M musim 2022 melabuhkan tirainya November tahun lalu.
Pengumuman kehadiran dibuat selepas skuad Harimau Malaya terkandas di peringkat separuh akhir Piala AFF setelah tewas kepada Thailand dengan agregat 1-3.
Syihan yang bakal menyarung jersi bernombor 33 itu akan bersaing dengan penjaga gol senior JDT, Farizal Marlias dan Haziq Nazli bagi memikat hati pengendali baharu, Esteban Solari untuk merebut tempat sebagai benteng terakhir pasukan.
Sebelum ini, JDT telah mengumumkan dua pemain import baharu, Oscar Arribas dan Juan Muniz yang bakal menjadi pemain penting pasukan bagi mengharungi kejohanan Liga Juara-Juara AFC (ACL) musim ini.
JDT turut diperkuatkan dengan kehadiran kuda tua, Diogo Luis Santo yang kembali menyertai JDT sebagai sokongan kepada Bergson Da Silva dan Fernando Forestieri sekiranya mengalami kecederaan atau direhatkan untuk perlawanan penting.
JDT akan berlepas ke Dubai pada 22 Januari ini untuk menjalani perlawanan pramusim sebagai persiapan menghadapi saingan Liga M dan ACL musim ini serta menguji prestasi semasa pasukan.
Bagi perlawanan pramusim itu, Harimau Selatan akan menentang kelab Rusia iaitu FC Rostov, FC Lokomotiv Moscow dan FC Zenit St. Petersburg serta FC Levski Sofia (Bulgaria) dan kelab UAE.