JAKARTA – Trend pengguna aplikasi TikTok bersiaran langsung mempamerkan aksi mereka mandi lumpur semakin popular dalam kalangan netizen di Indonesia, lapor laman berita Detik hari ini.
Aktiviti yang dilakukan oleh ramai netizen dewasa termasuk warga emas itu dimulakan dengan merendam diri di dalam mandian keruh campuran air dan lumpur.
Kemudian, penonton yang ingin menyuruh individu tersebut menyiram lumpur pada badan mereka diminta menghadiahkan satu syiling sebagai ganjaran.
Jumlah siraman akan menjadi lebih banyak jika penonton menghadiahkan 100 syiling.
Antara yang menjalankan siaran langsung sedemikian termasuk akaun @atorizzs. Video-video yang dimuat naik di akaun itu memaparkan beberapa wanita muda, dewasa dan warga emas mandi lumpur.
Sementara itu, pakar kulit dari Pusat Kulit DNI, Dr. Darma berkata, trend itu sudah tentu berbahaya untuk kulit manusia.
Mandi menggunakan air kotor berpotensi menyebabkan pencemaran mikroorganisma penyebab penyakit.
Air kotor boleh mengandungi bahan kimia, bahan buangan, logam berat dan bahan organik dan bukan organik seperti najis dan air kencing.
“Pendedahan kepada air yang tercemar boleh menyebabkan penyakit kulit seperti jangkitan kuman. Mereka juga berisiko mengalami alahan atau ekzema,” kata Dr Darma.
Menurutnya, trend mandi lumpur perlu ditangani dengan bijak memandangkan ia berisiko membahayakan kesihatan dan tiada kajian yang membuktikan kebaikan mandi lumpur. – Agensi