PUTRAJAYA – IOI Properties Group Berhad (IOIPG) menerusi pembangunan komersial jenis pegangan bebas iaitu Arena Xchange yang terletak di Warisan Puteri, Sepang, bakal membuka sebuah gedung konsep baharu, Lotus’s.
Rangkaian pasar raya terkemuka itu dijangka dilancarkan sekitar suku kedua tahun ini membabitkan sebanyak lapan unit kedai (retail shop) berkeluasan lebih 1,000 meter persegi di Arena Xchange yang secara keseluruhannya mempunyai 49 unit.
Ketua Pegawai Eksekutif IOIPG, Datuk Voon Tin Yow berkata, Lotus’s bakal menjadi gedung konsep unik kepada jenama berkenaan yang menjanjikan kemudahan, barangan segar serta berbaloi kepada pelanggan.
“Kami gembira dengan sokongan berterusan Lotus’s dengan membuka kedai konsep pertama seumpamanya di Arena Xchange yang menawarkan kebolehcapaian lebih besar kepada harga mesra bajet untuk keperluan setiap hari komuniti berdekatan.
“Pembukaan gedung baharu ini di Warisan Puteri, Sepang bakal meningkatkan lagi pengalaman hidup masyarakat di kawasan berkenaan, selaras dengan misi kami iaitu untuk mencipta produk dan perkhidmatan yang inovatif,” katanya pada sesi taklimat media berkenaan pembukaan gedung konsep baharu Lotus’s di Arena Xchange di IOI City Tower 2 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Tin Yow berkata, sebagai komponen komersial pertama di Warisan Puteri, Arena Xchange memainkan peranan penting ke arah pertumbuhan sebuah bandar lestari yang komprehensif terdiri daripada elemen kediaman, komersial dan rekreasi.
Katanya, ia bakal terletak di lokasi strategik iaitu sepanjang Lebuhraya Putrajaya-Cyberjaya.
“Selain daripada Lotus’s, kami turut memudahkan kedatangan jenama terkenal lain seperti Starbucks dan banyak lagi untuk meningkatkan gaya hidup masyarakat sekeliling.
“Kehadiran jenama-jenama ini akan menyumbang kepada kemeriahan bandar berkenaan selain mengukuhkan daya tarikannya sebagai destinasi menarik bagi pemilik perniagaan dan penduduk,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden Lotus’s Malaysia, Kenneth Chuah berkata, pelancaran gedung seluas 1,000 meter persegi pertama itu amat penting bagi Lotus’s dalam meneruskan rancangan pengembangannya.
“Penyelidikan kami menunjukkan pelanggan pada masa kini lebih suka membeli-belah barangan runcit mereka dengan cepat di kedai lebih kecil yang menyediakan pelbagai pilihan dan kemudahan setanding,” katanya. – KOSMO! ONLINE