Oleh AIMUNI TUAN LAH
GUA MUSANG – Seorang pekebun maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Kampung Pulai di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 11.15 pagi itu, mangsa, Teow Sin Yoon, 68, meninggal dunia sedang dalam perjalanan dari kebun untuk pulang ke rumahnya di Kampung Baru di sini.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd. Taufik Maidin berkata, kemalangan dipercayai berlaku selepas mangsa cuba memotong sebuah lori muatan kayu.
Katanya, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.
“Mangsa yang terbabit kemalangan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
“Motosikal mangsa mengalami kerosakan teruk dan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Taufik berkata, pemandu kenderaan pacuan empat roda, Khaizal Mat Ali, 31 bersama seorang penumpang, Mohd. Suhaimi Hamzah, 33, tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Sewaktu kejadian, mangsa memakai topi keledar, namun mempunyai lesen memandu.
“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -K! ONLINE