AKTRES Hollywood, Tan Sri Michelle Yeoh mencipta sejarah yang membanggakan apabila menjadi pelakon kelahiran Malaysia pertama memenangi Anugerah Golden Globes di The Beverly Hilton, Amerika Syarikat baru-baru ini.
Michelle, 61, membawa pulang anugerah Pelakon Wanita Terbaik Dalam (Filem Muzikal/Komedi) menerusi filem Everything Everywhere All At Once.
Menewaskan calon-calon hebat seperti Lesley Manville, Margot Robbie, Anya Taylor-Joy dan Emma Thompson, anak kelahiran Ipoh, Perak itu berharap kemenangannya dapat membuka lebih banyak ruang untuk pelakon dari Asia di Hollywood.
Selain Michelle, terdapat beberapa selebriti kelahiran Malaysia lain yang turut berjaya di Hollywood.
Zee Avi
PENYANYI dan komposer Zee Avi antara bintang kelahiran Malaysia yang mendapat perhatian di Hollywood.
Lagu dendangannya, Swell Window dan Concrete Wall daripada album Ghostbird pernah digunakan dalam siri televisyen terkenal Gossip Girl musim kelima.
Malah, The Associated Press meletakkan Zee Avi dalam senarai 10 album terbaik pada 2009 di samping nama-nama besar seperti Mariah Carey, Jay Z, Norah Jones dan The Black Eyed Peas.
Yuna
PENYANYI Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Mat Zara’ai, 36, antara anak seni kelahiran Malaysia yang berjaya mekar di Hollywood.
Sejak melancarkan kerjaya di Amerika Syarikat, Yuna sudah menjalin kerjasama dengan ramai artis terkenal antarabangsa seperti Usher, Jhene Aiko, G-Easy, Tyler, the Creator, Owl City, Pink Sweats dan Jay Park.
Penyanyi yang juga komposer itu mula terkenal menerusi lagu Dan Sebenarnya, manakala di peringkat antarabangsa dia popular dengan barisan lagu seperti Crush, Hello, Don’t Blame It On Love, Shine Your Way, Sky Is Crying dan Can’t Get Over You.
Ronny Chieng
PELAWAK dan pelakon kelahiran Johor Bahru, Johor, Ronny Chieng memulakan karier seni di Melbourne, Australia.
Dia merakamkan empat komedi solo (stand-up) istimewa selama satu jam iaitu The Ron Way (2012), Can You Do This? No You Can’t. (2013), Chieng Reaction (2014) dan You Don’t Know What You’re Talking About (2015) sehingga tercalon dalam banyak anugerah.
Selain pelawak, Ronny juga menggembangkan kerjaya dalam bidang lakonan menerusi filem Crazy Rich Asian dan Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings.
Henry Golding
Aktor Henry Ewan Golding atau lebih dikenali sebagai Henry Golding berdarah kacukan Malaysia-British yang dilahirkan di Betong, Sarawak.
Bermula sebagai pengacara di Malaysia, Henry yang juga seorang model kini cukup sukses di Hollywood.
Selain pernah mengacarakan BBC’s The Travel Show pada 2014, Henry juga terkenal menerusi barisan filem seperti Crazy Rich Asian, Last Christmas, The Gentleman dan Snake Eyes: G.I.Joe.
James Wan
Pengarah, penulis skrip dan penerbit yang terkenal dengan karya seram, James Wan merupakan anak kelahiran Kuching, Sarawak. Namun, kini telah berhijrah ke Australia.
James antara nama besar di Hollywood dan mula membina kerjaya sebagai pengarah pada tahun 2004. Antara filem popular arahannya adalah Saw, Aquaman, The Conjuring, Insidious dan Furious 7.
James menduduki tangga ke-19 sebagai pengarah yang meraih pendapatan tertinggi pada 2021 apabila keseluruhan filemnya mendapat kutipan sebanyak AS$3.7 bilion (RM16 bilion).