KLANG – Satu maut dan dua parah dalam kemalangan melibatkan enam buah kenderaan termasuk lori tiga tan di Kilometer 6.1 Lebuh Raya Persekutuan susur keluar Bukit Raja pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, kemalangan berlaku kira-kira pukul 7.30 pagi ketika lima buah kenderaan sedang berhenti bagi menunggu lampu hijau isyarat lampu lintas.
Katanya, semua kenderaan itu berada di lorong susur kiri menghala ke Lebuh Raya Selat Klang Utara.
“Sebuah lori tiga tan dipandu lelaki berusia 35 tahun dari arah belakang telah melanggar Proton Saga dinaiki ketiga-tiga mangsa dan kesemua kenderaan tergerak ke depan dan melanggar satu dengan yang lain.
“Tiga mangsa yang merupakan penumpang Proton Saga parah di kepala dan seorang daripadanya maut di lokasi kejadian” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Katanya, mangsa yang maut akibat parah dikepala dikenali A. Rahman Md. Amin berusia 57 tahun merupakan warga Indonesia yang mempunyai taraf penduduk tetap.
“Dua lagi mangsa yang cedera adalah warga Bangladesh dan Indonesia yang juga cedera di kepala telah dihantar ke Hospital Shah Alam (HSA) untuk rawatan lanjut,” ujarnya.
Ketika kemalangan kesemua mereka dalam perjalanan ke tempat kerja di Jalan Meru.
Menerusi hantaran Facebook Korporat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), tujuh anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 7.47 pagi. – KOSMO! ONLINE