fbpx

Anak tunggal Elvis Presley meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LISA Marie Presley merupakan anak tunggal kepada legenda Elvis Presley.

LOS ANGELES – Penyanyi yang juga anak tunggal kepada bintang legenda ternama, Elvis Presley, Lisa Marie Presley meninggal dunia pada usia 54 tahun akibat serangan jantung.

Berita duka tersebut dikongsi sendiri oleh ibunya iaitu pelakon Priscilla Presly kepada pihak media, hari ini.

“Dengan rasa sedih, saya memaklumkan bahawa anak perempuan saya, Lisa Marie Presley telah pun meninggal dunia,” ujar Priscilla seperti yang dipetik dalam laporan ABC News.

Difahamkan mendiang yang popular menerusi lagu Lights Out itu tiba-tiba dilaporkan rebah di sebuah kediaman di Calabasas, di sini sekitar pukul 10.37 pagi (waktu tempatan).

Pasukan paramedik yang tiba enam minit kemudian melakukan bantuan pernafasan dan berusaha menyelamatkan Marie sebelum dia dikejarkan ke hospital, namun disahkan telah meninggal dunia.

Pada 8 Januari lalu, Marie bersama ibunya dilihat berada di Memphis, Tennessee, di kediaman mewah pernah diduduki Elvis sekeluarga untuk meraikan ulang tahun mendiang bapanya pada hari tersebut.

Marie sempat menghadiri acara anugerah Golden Globes Awards pada Selasa lalu dengan ditemani ibunya untuk meraikan kemenangan pelakon Austin Butler yang memenangi anugerah bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem Elvis yang mengisahkan tentang kehidupan bintang Rock n Roll itu.

Sebelumnya, Marie sempat menuliskan kedukaan yang disiarkan dalam majalah People selepas anak lelakinya, Benjamin Keough ditemui mati bunuh diri pada 2020.

“Saya telah berdepan dengan soal kematian dan kehilangan sejak usia 9 tahun. Saya punya lebih banyak pengalaman daripada sesiapapun untuk dikongsi dan melaluinya sepanjang hidup saya,” tulisnya.

Sekadar info, Marie yang dilahirkan pada 1 Februari 1968 merupakan anak tunggal kepada pasangan Elvis Presley dan Priscilla Presley.

Marie yang juga ibu kepada empat cahaya mata itu memulakan kerjaya muziknya agak lewat apabila mengeluarkan debut album pertamanya, To Whom It May Concern pada 2003 dan diikuti dua lagi album lain iaitu Now What pada 2005 dan Storm & Grace pada 2012.

Sepanjang hidup, Marie telah berkahwin sebanyak empat kali termasuk bersama bintang pop terkenal dunia, Michael Jackson pada tahun 1994.

Bagaimanapun kesemua perkahwinannya berakhir dengan perceraian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI